Majlis Isra' dan Mikraj 1425H

12 September 2004. Hari Ahad atau hari cuti umum sememangnya merupakan hari yang sesuai untuk mengumpulkan anggota masyarakat Malabari dari jauh dan dekat. Kebetulan Hari Isra' dan Mi'raj kali ini jatuh pada hari Ahad membolehkan majlis diadakan secara besar-besaran. Majlis kali ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan hampir 200 orang lelaki dan 70 orang wanita mengambil bahagian.
Isra' Mi'raj merupakan ulangtahun memperingati perjalanan pergi dan pulang Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Masjidul Aqsa dan seterusnya naik ke Sidratul Muntaha merentasi tujuh langit sehinnga ke Baitul Makmur. Baginda telah menerima perintah dari Allah untuk sembahyang juga pada ketika itu. Demikian ianya juga merupakan ulang tahun di mana sembahyang diwajibkan kepada Umat Islam.
Majlis kali ni telah bermula lebih awal dari biasa dengan bacaan Tahlil dan YaaSiin pada pukul 6.45 petang. Majlis seterusnya telah berhenti sebentar untuk berbuka puasa sunat dengan juadah yang disediakan secara gotong royong dan juga yang telah disumbangkan oleh orang -ramai.

Setelah sembahyang Maghrib , majlis diteruskan dengan ceramah agama oleh Ustaz KunhiMohamed. Beliau antara lain telah menyentuh tentang Isra Mikraj , sembahyang dan juga perkara umum seperti tanggung jawab kepada ibu bapa. Setelah solat Isyak , sembahyang jenazah serta bacaan Haddad telah diadakan . Majlis seterusnya bersurai ke perkarangan surau lama untuk makan malam. Setelah selesai makan malam, nasi serta daging bungkus diedarkan kepada para hadirin sebelum majlis bersurai.


Majlis hari ini diadakan secara gotong-royong menyaksikan lebih banyak sukarelawan menawarkan diri untuk menjayakan majlis ini. Sularelawan yang di ketuai oleh Sdr Jaafar bin Aidaross telah berada di surau dari pagi lagi membuat persiapan awal untuk majlis ini.Keseluruhan majlis ini diadakan melalui sumbangan wang dan material dari orang ramai serta persatuan. Persatuan Malabari Malaysia telah menyumbangkan sebanyak RM500 untuk menjayakan majlis ini. Gas untuk memasak disumbangkan oleh Sdr Muhammad. Periuk serta dapur memasak, selain dari kepunyaan surau dari Kerala Muslim Jamaat. Beras disumbangkan oleh Restoran Saleem, Ipoh sementara ayam telah disumbangkan oleh Restoran D'Maju dan Tuan Hj Salim.
Aktiviti memasak bermula selepas Zohor. Bacan doa ringkas telah diadakan memohon supaya keredaan Allah s.w.t dalam menjayakan majlis. Menu pada hari tersebut adalah nasi minyak dalcha, ayam goreng , daging lembu 'perettal', sayur timun nenas, buah tembikai serta air sirap. Bahagian memasak diketuai oleh Sdr Abdul Rahim, Tuan Hj Saleem, Sdr Aidaros serta Sdr Abdul Mutalib. Mereka ini dibantu oleh Sdr Abbas, Sdr Hassan serta pemuda-pemuda yang diketuai oleh Sdr Jaafar. Sebanyak 300 bungkusan nasi telah disediakan untuk diedarkan. Nasi serta daging telah dibungkus secara berasingan di dalam bekas plastik 'microwave safe'. Aktiviti membungkus dimulakan pada pukul 6.30 petang dan selesai pada 7.30 petang.
Juadah berbuka puasa juga disiapkan sebahagiannya oleh sukarelawan manakala tidak kurang pula yang disumbangkan oleh orang ramai. Tuan Haji Abdullah telah menyediakan 'pathiri ' dan kari ayam. Beliau juga telag menyediakan bebola roti canai. Roti canai ini telah dimasak 'panas' disurau oleh Sdr Sulaiman yang juga telah menyadiakan 'tava' untuk memasak roti canai tersebut.
Kami telah mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada para hadirin pada hari tersebut. Syabas diucapkan kepada para penganjur dan sukarelawan yang telah menjayakan majlis ini. Tumpuan dari segi masa, kandungan serta penyampaian ceramah memperkuatkan keyakinan kita untuk mejadikan surau sebagai pusat penyebaran ilmu. Majlis gotong -royong seperti ini dapat merapatkan silatur-rahim dan menghidupkan semangat 'kekitaan' didalam masyarakat. Disamping menjadi ibadah, gotong -royong ini dapat meringan beban kewangan surau melaksankan program seperti ini. Kehadiran ramai wanita dalam majlis seperti ini menunjukkan minat mereka di dalam aktiviti surau semakin bertambah dengan adanya pengelibatan mereka secara aktif seperti aktiviti sebelum ini. Masyarakat yang maju adalah masyarakat yang bersatu teguh dan berilmu.
webmaster