Majlis  Maulud Sheikh Muhyidheen di Surau Malabar Hidayatul Islam

30 Mei 2004. Sebuah Majlis  Maulud Sheikh Muhyidheen Abdul Qadir Jilani telah diadakan secara besar-besaran pada hari ini. Hari ini ,11 Rabiul- akhir merupakan hari Wali Allah yang agung ini pulang ke Rahmatullah. Dengan hampir 150 orang  menghadiri majlis ini, ianya merupakan salah satu majlis yang terbesar dianjurkan oleh Surau sejak dari perasmian surau tahun lepas.

Di Malabar, sememangnya Majlis  Maulud Sheikh Muhyidheen Abdul Qadir Jilani diadakan secara besar-besaran. Di kebanyakan masjid bacaan maulidul rasul akan diadakan pada steiap hari sepanjang bulan Rabiul Awwal, diikuti dengan bacaan maulud Sheikh Muhyidheen selama 11 hari sehingga 11 Rabiul-Akhir . Pada tahun 1960-an dan awal 1970-an semasa masjid Malabar Malabar ini masih berada di Segambut majlis ini diadakan dengan agak meriah termasuk pengedaran bungkusan nasi. Lama-kelamaan walaupun majlis  ini diadakan di rumah-rumah sambutannya sebagai satu aktiviti masyarakat diadakan semakin kecil-kecilan. Oleh itu pada tahun ini, keputusan telah dibuat  untuk mengadakan majlis ini secara lebih besar-besaran. Maklumat tentang majlis ini telah diedarkan kepada masyarakat malabari  melalui notis, jaringan  telefon dan internet. Notis juga telah diberikan ke masjid- masjid yang berhampiran di Selayang.

 Boleh dikatakan keseluruhan majlis ini diadakan melalui gotong-royong dan  sumbangan masyarakat malabari. Beras telah disumbangkan oleh Sdr Abdul Rahim bin Hj Hussain yang  juga telah mengetuai pasukan memasak nasi. Daging lembu untuk rendang dan seekor kambing yang dimasak kari disumbangkan oleh dua orang hamba Allah yang berasingan. Gas untuk memasak disumbangkan oleh Sdr Mohamed bin Hj Athir. Bungkusan plastik 'microwave safe' yang  berasingan untuk nasi dan rendang dibeli dari sumbangan Sdr Abdullah Munshi. Periuk, dapur gas serta tepak menyejuk telah dipinjam dari Kerala Mulism Jamaat. Pinggan serta gelas untuk majlis adalah dari Sdr Abdul Muttalib. Tuan Haji Abdullah telah membantu memasak daging kambing untuk majlis ini. Yang lebih memberangsangkan ialah kehadiran hampir 30  orang sukarelawan untuk membantu menjayakan majlis ini.

Aktiviti memasak telah dimulakan selepas Zohor dengan  bacaan doa oleh Ustaz Abdul Kareem. Sdr Abdul Mutalib dan Sdr Ibrahim Moidu (Baboy) telah mengetuai pasukan yang memasak rendang.  Saudara  Sdr Abdul Rahim pula mengetuai pasukan memasak nasi biriyani. Sukarelawan yang terdiri dari pemuda - pemuda terutamanya dari kawasan Selayang , Kepong serta Batu Caves telah datang dari awal lagi untuk membantu menyediakan barangan keperluan memasak. Hujan yang  turun dengan lebatnya tidak lansung mengganggu aktiviti penyediaan makanan. Seterusnya  para  sukarelawan membantu membungkus nasi serta rendang. Sebnayak 300 buah bungkusan nasi telah disediakan

Majlis maulud telah dimulakan selepas Maghrib. Maulud ini diteruskan dengan sebuah ceramah oleh Ustaz Abdul Kareem tentang sejarah hidup Sheikh Muhyidheen. Setelah sembahyang Isyak , sembahyang jenazah ghaib telah diadakan untuk 3 orang saudara yang telah meninggal baru -baru ini. Setelah  itu majlis telah bersurai ke tempat makan untuk menjamu hidangan yang disediakan . Pada masa yang sama bungkusan nasi yang  disediakan telah diedarkan kepada para tetamu untuk dibawa pulang. Majlis berakhir pada hampir pukul 10.30 malam.

Kami mengucapkan tahniah pada pihak surau yang telah menjayakan majlis ini. Majlis berupa gotong royong ini memberi peluang lebih ramai orang mengambil peranan yang aktif dalam aktiviti Surau. Disamping membolehkan anggota masyarakat beribadat dalam bentuk tenaga dan sumbangan, aktiviti seperti ini dapat membawa kepada merapatkan silatur-rahim teruatamanya di kalangan pemuda. Kami  berharap aktiviti seperti dapat diteruskan untuk mengimarahkan lagi masjid ini.