Bekas Presiden Kerala Muslim Jamaat  meninggal dunia

9 April 2004.  Sdr Osman bin Mohamed, bekas Presiden Kerala Muslim Jamaat telah meninggal dunia hari ini. Beliau yang telah dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur lebih seminggu yang lalu, telah meninggal lebih kurang jam 1.00 pagi pada hari ini.

Jenazah  beliau telah dibawa ke rumah ayah beliau di Damansara sebelum terbit fajar. Pada pagi harinya tahlil telah diadakan oleh sanak saudara dan sahabat handai yang datang menziarah. Jenazah beliau telah dimandikan , dikafankan dan disembahyangkan di rumah.  Beliau telah selamat dikebumikan pada pukul 11.00 pagi di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara di Damansara. Ramai saudara-mara dan sahabat handai telah datang melihat beliau buat kali terakhir. Pemimpin malabari dari dekat  dan jauh juga telah datang menziarah termasuk dari Johor dan Negeri Sembilan.

Sdr Osman merupakan anak sulung Tuan Haji Mohamed (Bapoo) dan mempunyai 3 orang anak. Beliau merupakan tokoh yang tidak asing lagi di kalangan Malabari terutamanya di sekitar Kuala Lumpur. Sebagai pemimpin Kerala Muslim Jamaat beliau telah berjaya membawa banyak perubahan dalam Jamaat. Beliau juga berjaya menarik minat lebih ramai golongan muda mengambil peranan yang membanggakan dalam aktiviti Jamaat. Beliau juga berjaya menjalinkan satu kerjasama yang baik diantara Jamaat, Persatuan Malabari Malaysia, serta Surau Malabar. Perwatakan beliau yang diplomatik, pemurah  dan bertoleransi telah memenangi hati berbagai pihak.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bagi masyarakat malabari umumnya dan sukar dicari ganti. Diharap masyarakat Malabari yang mengambil contoh daripada kejayaan-kejayaan beliau untuk dijadikan teladan dan iktibar di masa akan datang.

Moga-moga Allah s.w.t. mencucuri RahmatNya ke atas allahyarham. Amin