Perayaan Hari Raya di Kerala pada hari ini

Oleh Mohamed Hanifa Chekku

  Sebelum zaman Rasulullah s.a.w. lagi Kerala telah menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang Arab. Sekaligus ia telah menjadi pusat perkembangan Islam yang penting dimana Islam telah bertapak di kerala sejak dari mulanya lagi..Mubaligh-mubaligh dan saudagar-saudagar dari Arab telah memainkan peranan yang penting dalam penyebaran Agama islam lebih-lebih lagi daripada Yaman.

Kebudayaan ,tamadun dan perayaan yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Islam telah menjadi sebahagian dari Kerala hari ini. Hari Raya Puasa atau dikenali sebagai ' Nombu Perunaal' adalah salah satu perayaan yang penting di Kerala, Ianya disambut oleh orang Islam dengan meriah.

Sepanjang bulan Ramadhan, masjid-masjid menjadi tumpuan berbuka puasa, sembahyang Terawih dan majlis-majlis zikir. Pada akhir bulan Ramadhan pula suasana menjadi lebih meriah dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya seperti membeli-belah pakaian dan keperluan Hari Raya, menghiaskan rumah dan sebagainya. Kanak-kanak pula sibuk bermain mercun dan bunga api.

Penetapan puasa dan Hari Raya adalah dibuat dengan  melihat anak bulan.Pada malam 29 Ramadhan, tarikh Hari Raya akan diisytiharkan melalui media TV dan radio. Di utara  Kerala perisytiharan dibuat berdasarkan keputusan tiga Kadi yang terkemuka di Kerala. Mereka adalah Syed Muhammad Ali al-Shihab, Mohameed Koya Nalakath dan Syed Mohsin Al-Shihab. Di bahagian selatan pula perisytiharan adalah berdasarkan  keputusan sebuah jemaah Islam. Walaubagaimanapun , pada kebiasaannya keputusan mereka adalah serupa.  Perisytiharan Syawal disambut dengan Takbir Raya yang berkumandang di seluruh masjid-masjid di pantai Malabar Kerala

Pada malam tersebut kaum wanita suri rumah akan sibuk memakai inai di jari. Sambil membuat persiapan-persiapan lain meyambut Hari Raya. Di pagi Raya, kaum lelaki ke masjid untuk sembahyang Hari Raya manakala kaum wanita pula sibuk menyediakan makanan untuk makan bersama. Selepas sembahyang Raya kaum lelaki akan menziarahi pusara kaunkeluarga yang telah menigggal dunia dan setelah itu kembali  ke rumah untuk bersama dengan keluarga. Pada waktu petangnya pula mereka akan keluar menziarahi kaum keluarga dan jiran-jiran yang berdekatan.

 Pada Hari Raya kedua, ada yang akan melawat saudara-mara yang jauh atau mengadakan jamuan Hari Raya di rumah masing-masing, menyambut tetamu. Demikianlah secara ringkas sambutan Hari Raya kaum malabari di Kerala hari ini.