Kebudayaan -Perkahwinan

Kebudayaan adalah suatu cara hidup yang dijadikan ikutan melalui turun-temurun antaranya melalui cara pakaian, majlis-majlis keramaian, perkahwinan dan cara hidup berkeluarga.

Dalam kebudayaan masyarakat Malabari pula kebudayaan memainkan peranan yang penting dalam segala aspek.Penghijarahan oleh Malabari-malabari dari Kerala ke Tanah Melayu sejak dulu lagi telah menyebabkan penggunaan adat-adat dari Kerala antaranya didalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, majlis kenduri dan sebagainya.

Sebagai seorang yang telah hidup melalui adat resam Malabari saya amat berbangga dapat berkongsi cerita mengenai topik kebudayaan yang telah ditanggungjawabkan kepada saya oleh Jawatan Kuasa Pemuda KMJ. Oleh kerana kekurangan sumber informasi mengenai kebudayaan Malabari terutamanya dalam media cetak, saya berharap agar para pembaca yang tahu mengenai apa sahaja berkenaan kebudayaan diminta menengahkan idea-idea tersebut agar dapat dimanfaatkan bersama oleh pembaca-pembaca yang lain.

Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan sesuatu terhadap pembaca dan juga setiap individu mempunyai pengalaman yang unik dalam mempelajari apa jua bidang. Saya sebagai salah seorang yang boleh dikatakan biasa dengan adat resam masyarakat Malabari ingin menyampaikan sesuatu dalam edisi pertama majalah ‘Oonarcha’ di dalam ruang kebudayaan. Saya akan menyentuh beberapa perkara mengenai kebudayaan dalam masyarakat Malabari. Oleh itu dengan tidak membuang masa lagi kita meneliti bersama suatu kebudayaan yang biasa diadakan iaitu upacara perkahwinan.

Upacara perkahwinan masyarakat Malabari di Malaysia kebanyakannya telah bercampur dengan tradisi orang-orang Melayu. Ini berlaku kerana kedua-dua mempunyai persamaan seperti adat resam dan juga ugama. Upacara perkahwinan ini terbahagi kepada beberapa upacara yang biasa dilangsungkan. Upacara ‘Mailanji’ atau inai biasanya diadakan pada hari akad pertama. Bakal pengantin perempuan akan dikelilingi oleh teman-teman wanita, saudara mara serta rombongan dari pihak lelaki yang kebanyakannya dari kalangan kaum wanita.

Upacara akan dimulakan dengan hiasan inai pada kedua belah tapak tangan pengantin perempuan. Pada masa yang sama kumpulan penari wanita yang diundang khas akan mendendangkan lagu ‘Oppena’. Ia adalah lagu-lagu ‘mapla’ yang diiringi tepukan berirama. Adakalanya lagu-lagu ‘oppena’ ini didendangkan oleh kaum wanita yang telah berumur. Upacara ini di Malaysia tidak selalu diikuti sepenuhnya seperti di Kerala tetapi ia masih diadakan demi memelihara tradisi upacara tersebut. Para hadirin pula akan dihidangkan dengan manisan dan hidangan lain.

Hari kedua merupakan hari akad nikah. Upacara akad nikah akan di adakan di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki akan diiringi dengan paluan ‘Arvana’ iaitu sejenis kompang.

Dari segi pakaian upacara di Kerala pengantin perempuan akan memakai ‘Sari’ dan pengantin lelaki biasanya akan memakai baju berlengan panjang ‘Weshty’ dan saputangan dijadikan penutup kepala semasa upacara tersebut. Tentu ramai masyarakat malabari disini yang bertanya-tanya mengapa mereka menggunakan saputangan sedangkan mereka boleh menggunakan penutup kepala yang lebih baik. Ini adalah kerana ia adalah suatu tradisi di Kerala dan masih diikuti hingga hari ini.

Upacara membasuh kaki pengantin lelaki dilakukan ketika pengantin lelaki diiring masuk kerumah pengantin perempuan. Ini dilakukan oleh saudara lelaki kepada pengantin perempuan terhadap pengantin lelaki. Selepas itu saudara lelaki menerima cenderahati, biasanya dalam bentuk emas. Selepas upacara tersebut pengantin lelaki dan perempuan akan bertukar kalungan bunga. Ibu kepada pengantin perempuan akan memberi segelas susu kepada pengantin lelaki untuk diminum separuh dan selepas itu diberi kepada pengantin perempuan untuk diminum.

Kedua pengantin akan melalui upacara nikah. Selepas upacara nikah manisan akan diberikan kepada para hadirin untuk menandakan tamatnya upacara tersebut dan tanda mengucap bersyukur kepada Allah.

Itulah sedikit sebanyak mengenai upacara perkahwinan yang dilakukan di Kerala dan ada yang diikuti sepenuhnya di Malaysia. Walaupun upacara yang dilakukan disini telah bercampur dengan adat disini tetapi ia menandakan tradisi Kerala masih diikuti disini. Saya berharap apa yang saya persembahkan sedikit sebanyak menolong setengah individu mengenali tradisi kita dengan lebih dekat lagi dan secara tidak langsung menambah pengetahuan tentang kebudayaan malabari di Kerala dan Malaysia.

Wasalam

 

Sumbangan  Mohd Ali bin Abu Bakar untuk edisi pertama Majalah Oonarcha oleh Kerala Muslim Jamaat