Click to go to the Main Page

e-Malabari Network

Majlis berkhatan tradisional di Kerala

Majlis berkhatan di Kerala juga dikenali sebagai  Maarkham atau Sunnat. Pada masa dahulunya ianya diadakan secara besar-besaran dan disetarakan dengan majlis perkahwinan.  Oleh itu kadang- kala ianya juga dinamakan "Sunnath Kalyanam". Majlis ini juga merupakan satu tanda penerimaan seseorang kanak-kanak lelaki sebagai orang dewasa.Sekiranya ada beberapa orang kanak-kanak lelaki dalam sebuah keluarga, adat berkhatan mereka akan di adakan serentak.

Majlis ini biasanya diadakan pada hari Khamis, malam Jumaat. Persediaan untuk hari tersebut bolehlah disamakan dengan kenduri kahwin. Khemah akan didirikan di hadapan rumah. Saudara mara dekat akan datang membantu untuk persediaan menghadapi hari tersebut. Saudara lain biasanya akan membawa hadiah  untuk kanak-kanak tersebut dan tidak kurang pula yang akan membawa kuih-muih . Kanak-kanak yang akan berkhatan akan bersedia dengan pakaian baru. Pakaian bersebut mungkin dihadiahkan oleh ayahnya atau saudara terdekat seperti , abang ipar atau bapa saudara mereka. Majlis bermula dengan bacaan  maulud akan diadakan di rumah. Kenduri juga akan diadakan secara besar-besaran sempena majlis itu. Makanan yang dihidangkan adalah berbeza dari kenduri kahwin disetengah tempat . Di utara Kerala misalnya, 'Avule' ( empeng beras) di gaul dengan gula merah dan pisang , dihidangkan dalam dulang besar dan dimakan bersama beramai-ramai.

Kanak kanak tersebut di bawa  ke masjid yang berdekatan. dari sana mereka akan di arak beramai- ramai dengan penuh istiadat kembali ke rumah mereka. Cara perarakan diadakan bergantung kepada kemampuan keluarga yang terbabit. Ada kalanya mereka akan diarak dengan tandu, dibawa dengan kuda atau menunggang gajah!!.

Upacara  berkhatan dilakukan oleh 'Osan'. Osan adalah nama yang diberikan kepada tukang gunting rambut beragama Islam. Pekerjaan ini adalah turun temurun dan teknik berkhatan ini juga diturunkan daripada ayah kepada anak. Mereka beroperasi di sebuah kawasan tertentu dan akan pergi ke rumah pelanggan mereka untuk menggunting rambut. Selain dari menggunting rambut mereka juga diberi hak mencukur jambul bayi. Mereka juga mempunyai teknik-teknik tersendiri untuk membuang bulu ketiak.

  Teknik yang digunakan untuk berkahatan berbeza dari tempat dan Osan yang melakukannya. Di setengah tempat  kanak-kanak dibaringkan di atas katil yang dipegang oleh beberapa orang. Kulit foreskin ditarik lalu dipotong. Di tempat lain pula, mereka didudukkan di atas kerusi ataupun lesung. Kaki dan tangan akan dipegang kuat oleh beberapa orang. Sebuah dulang berisi abu dapur arang kayu  akan diletak di atas lantai di hadapan tempat duduk untuk menadah titisan darah. Sebuah kayu kecil akan digunakan untuk menolak glans penis kedalam sambil menarik kulit yang perlu dibuang (foreskin) dan diklipkan. Bahagian yang diklipkan kemudian akan di potong. Badar Maulud atau selawat akan dibacakan dengan lantang semasa upacara ini dipercayai akan mengurangkan rasa sakit. Ini juga mungkin dibuat untuk menenggelamkan bunyi jeritan kanak-kanak itu.

 Luka tempat potongan di sapu dengan berbagai jenis ubat tradisional untuk menghentikan pendarahan dan menyembuhkan luka. Sejenis serbuk yang dihasilkan dengan meraut pangkal tandan  dan bunga  kelapa digunakan untuk mempercepatkan sembuhan dan memberhentikan pendarahan. Sejenis minyak juga digunakan untuk menyembuhkan luka. Tempat  yang dipotong itu kemudiannya  akan dibalut dengan kain  lilit yang disalut  ubat.

Tempat baringan khas akan disediakan untuk mereka yang  telah  bersunat dengan sehelai  kain digantung dari kayu 'siling' dengan seutas tali. Kain tersebut akan menyelimuti kanak-kanak tersebut tetapi tidak akan kena pada bahagian yang disunat kerana tergantung di bahagian tengahnya. 'Osan' akan datang sekali dalam beberapa hari untuk menukar kain dengan ubat untuk memastikan luka sembuh dengan baik. Untuk memudahkan proses menukar kain ini, kanak -kanak itu akan diberikan tempurung kelapa yang ditebuk lubang kecil dan diisi dengan air. Air yang jatuh akan dititiskan pada kain balut untuk memudahkan penanggalannya. Ada juga kalanya luka itu akan terkena jangkitan. Osan mempunyai cara perubatan dan pembersihan tersendiri untuk menyembuhkan luka ini.

Hari yang ke 23 yang biasanya jatuh pada hari Jumaat pada minggu ke-3. Biasanya luka sudah kering dan kanak-kank dan mandi buat pertama kali. Setelah itu, satu lagi sambutan akan diadakan di setengah tempat, lebih meriah daripada majlis utama tadi. Kanak-kanak yang telah bersunat akan dipakaikan pakaian baru berupa kain dan baju, serupa dengan orang dewasa. Mereka akan di bawa ke masjid buat pertama kalinya selepas berkhatan diiringi oleh ayah mereka  untuk menunaikan sembahyang Jumaat sebagai orang dewasa. Perarakan besar-besaran mungkin lebih meriah  dari hari pertamanya. Kanak-kanak dengan pakaian baru akan diarak mengikut kemampuan masing-masing.

Pada masa kini, adat  seperti ini jarang sekali dilakukan. Bersunat dilakukan oleh doktor dengan menggunakan ubat bius untuk mengurangkan rasa sakit dalam cara yang steril. Walaubagaimana pun cara tradisi melakukan akan menjadi sebuah memori untuk mereka yang mengalaminya, dan sebuah cerita yang  akan diturunkan kepada generasi akan datang yang tidak pernah dan tidak akan mengalaminya .

Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada  mereka-mereka di bawah yang telah berkongsi pengalaman menjayakan artikel ini.

En. Kunhimon bin Hydross
Hj Bava bin Hydross
Hj NK Moideen Kutty
Hj Koya Kutty
Ustaz Abdul Kareem Assaquofi

 

 

Links- based on relevence