Istilah: Apim dinasihat tarik balik saman DBP

KUALA LUMPUR 2 Ogos 2003 - Persatuan Pelopor India Muslim Selangor dan Wilayah Persekutuan (Apim) dinasihatkan supaya menarik balik samannya terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung istilah `keling' dalam Kamus Dewan yang didakwa menghina orang India di negara ini.

Tokoh bahasa, Profesor Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan kehidupan aman damai penduduk pelbagai kaum di negara ini daripada terjejas terutama jika diperbesarkan oleh media massa.

``Kalau diperbesarkan, maka ia boleh menjejaskan keharmonian kaum penduduk Malaysia dan saya harap, semua pihak terutama media tidak memperbesarkan isu ini,'' katanya kepada pemberita pada Majlis Konvensyen Pendidikan Nasional 2003 di sini hari ini.

Konvensyen anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama DBP itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah DBP, Abu Bakar Mohamad.

Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas tindakan Apim menyaman DBP berhubung istilah `keling'.

Apim baru-baru ini menyaman DBP berhubung istilah `keling' dalam Kamus Dewan yang didakwa menghina orang India di negara ini.

Dalam saman itu, Apim memohon pengisytiharan DBP gagal dalam kewajipan statutori dan tanggungjawab melaksanakan tugas dengan mengiktiraf dan membenarkan perkataan `keling', `keling karam', `keling mabuk todi' dan `keling pelikat' disiarkan dalam Kamus Dewan.

Nik Safiah berpendapat sepatutnya perkara itu boleh diselesaikan menerusi perbincangan.

``Berbincanglah dengan DBP mengenai perkara ini tanpa perlu menghebahkannya kepada umum.

``Ini lebih baik kerana perbincangan tertutup boleh mengelakkan perkara kecil menjadi besar sekali gus menjejaskan keharmonian kaum,'' katanya.

Beliau berkata, menerusi perbincangan itu, Apim boleh mencadangkan kepada DBP supaya perkataan `keling' digugurkan dalam Kamus Dewan untuk edisi akan datang.

Bagaimanapun, katanya, Apim perlu faham bahawa kamus merupakan buku yang merakamkan penggunaan bahasa.

Menurutnya, istilah `keling' telah wujud beratus-ratus tahun lalu dan ini terbukti ia banyak digunakan dalam buku Sejarah Melayu