
KUALA LUMPUR, 13 Nov 2005 (Bernama) -- Bayangkan, secara global, setiap 30 saat,
seorang pesakit diabetes akan kehilangan kaki. Kos untuk amputasi kaki berkaitan
komplikasi diabetes pula dianggarkan antara RM90,000 hingga RM180,000.
Statistik Kementerian Kesihatan juga mencatatkan, 70 peratus daripada
keseluruhan kes amputasi kaki berlaku di kalangan pesakit diabetes yang
kebanyakannya bermula dengan ulser di kaki.
Manakala seorang daripada enam orang pesakit diabetes akan mendapat ulser kaki
dan setiap tahun dianggarkan 4 juta orang akan mendapat ulser kaki.
Namun, menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan, K. Chandran a/l Kanniah, dalam kebanyakan kes, ulser kaki
dan amputasi yang diakibatkan oleh diabetes boleh dicegah.
"Komplikasi kaki merupakan antara penyebab utama kemasukan pesakit diabetes ke
hospital. Bagaimanapun, dijangka sebanyak 85 peratus amputasi boleh dicegah,"
katanya.
Menyedari peri pentingnya penjagaan kaki di kalangan pesakit diabetes, maka Hari
Diabetes Sedunia tahun ini memilih "Diabetes Dan Penjagaan Kaki" sebagai
temanya.
Perasmian sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun ini akan
disempurnakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Kuching,
Sarawak, pada 14 Nov.
Chandran berkata di negara-negara maju, 50 peratus daripada pesakit diabetes
mengalami komplikasi kaki manakala di negara-negara yang membangun pula, ia
dijangka memerlukan 40 peratus daripada sumber-sumber perubatan dan penjagaan
kesihatan.
Katanya, komplikasi diabetes pada kaki berlaku disebabkan keadaan seperti
berikut:
* Kerosakan saraf di mana ia akan menghasilkan rasa kebas serta rasa sakit
(seperti dicucuk dengan jarum) di bahagian kaki pesakit walaupun ketika pesakit
sedang berehat;
* Menjejaskan pengaliran darah di mana aliran salur darah akan menjadi rendah,
mengakibatkan nutrien yang sampai ke kaki pesakit tidak mencukupi. Nutrien yang
tidak mencukupi menyebabkan luka di kaki tidak dapat sembuh;
* Ulser dan gangren berlaku disebabkan oleh kemusnahan pada lapisan kulit;
* "Sendi Charcot" di mana sendi-sendi tulang akan menjadi lemah dan tidak mampu
menerima tekanan, lalu menyebabkan kecacatan kaki;
* Rekahan/kalus di mana pesakit diabetes lebih mudah terdedah kepadanya.
* Infeksi tulang di mana tisu-tisu yang rosak akan musnah dan terus menjejaskan
tulang, membawa kepada infeksi kaki yang serius menyebabkan kaki terpaksa
dipotong untuk mengelakkan infeksi daripada merebak.
Chandran, bagaimanapun, berkata komplikasi diabetes pada kaki boleh dihindari
jika pesakit sentiasa memastikan paras glukosnya terkawal, mematuhi regimen
rawatan dengan berjumpa doktor pada tarikh temujanji dan rajin mengambil ubat
mengikut dos dan waktu yang betul.
"Mengawal pemakanan dan diet seimbang, rajin melakukan senaman dan aktiviti
fizikal, berhenti merokok dan pengambilan minuman beralkohol serta rajin
mengamalkan penjagaan kaki setiap hari juga boleh mengelak daripada mendapat
komplikasi kaki," katanya.
Beliau berkata pesakit diabetes perlu sentiasa memeriksa kaki daripada melecet,
melecur atau luka.
"Kaki juga perlu sentiasa berkeadaan kering terutama di celah-celah kaki, setiap
hari perlu merendam kaki dengan air suam, selalu mengurut kaki dengan krim yang
sesuai dan perlu berhati-hati ketika memotong kuku jari kaki," katanya.
Chandran berkata diabetes biasanya akan menjejaskan kaki pesakit melalui dua
cara iaitu Diabetek Neuropati dan Diabetek Vaskulapati.
Diabetek Neuropati adalah keadaan di mana sistem saraf di dalam badan boleh
terjejas jika tahap paras gula di dalam darah tidak terkawal.
Beliau berkata, ia biasanya akan menjejaskan saraf-saraf yang membekalkan deria
rasa dan sentuhan ke bahagian kaki.
"Apabila keadaan ini berlaku, deria untuk merasai kesakitan di bahagian kaki
akan berkurangan menyebabkan pesakit kemungkinan tidak dapat merasai sebarang
luka yang dialaminya,"katanya.
Chandran berkata jika pesakit mengalami rasa kebas atau rasa seperti dicucuk
dengan jarum di bahagian tapak paki, itu menandakan saraf-saraf kaki telah
mengalami kerosakan.
Menjelaskan mengenai Diabetek Vaskulapati, Chandran berkata ia adalah suatu
keadaan di mana salur-salur darah dalam badan terutamanya di bahagian kaki
separuh tersumbat atau kadangkala boleh tersumbat secara sepenuhnya.
Saluran darah yang tersumbat akan menyukarkan pengaliran darah yang normal ke
kaki dan apabila pengaliran darah yang normal ke kaki terjejas, ia akan turut
menjejaskan pembekalan oksigen ke bahagian kaki, katanya.
Keadaan kaki yang nampak pucat dan kebiruan menandakan pengaliran darah ke kaki
sudah terjejas, jelas Chandran.
"Jika saluran darah di kaki mengalami oksigen yang kurang, bahagian tersebut
tidak akan memperolehi nutrien yang mencukupi untuk membantu dalam melawan
infeksi atau untuk menyembuhkan luka," katanya.
"Ia kemudiannya akan mengakibatkan tulang dan sendi di bahagian kaki menjadi
lemah. Apabila ia lemah, ia tidak mampu menampung berat badan. Keadaan ini akan
membentuk tekanan di sesetengah bahagian kaki yang seterusnya mengakibatkan
kecacatan kaki," jelas Chandran.
Oleh itu, sayangilah kaki anda dengan mengelakkannya daripada menjadi mangsa
ulser dan amputasi.