Click to go to the Main Page

See the text in another language by clicking in the link  above. Bear in mind that the translation is done by computer and may be incomplete and of inferior quality.

ARKIB : 29/10/2006

Sufi dan persuratan nusantara

 

 

Bahagian 1:
Kemunculan idea sufi dalam dunia persuratan Melayu berkait secara langsung dengan kehadiran Islam di nusantara. Hal yang demikian kerana sufisme itu sendiri merupakan manifestasi ilmu tasawuf, iaitu salah satu cabang utama keilmuan Islam selain ilmu usuluddin dan ilmu fekah.

Aliran tasawuf atau sufisme yang sering dipandang serong oleh kebanyakan pengamal Islam sebaliknya mendapat persepsi yang positif daripada seorang ilmuan Islam terkenal Nusantara, Hamka.

Hamka menegaskan bahawa ilmu tasawuf telah muncul bersama munculnya agama Islam itu sendiri. Malah menurutnya, ilmu tasawuf itu sendiri telah tumbuh dan menyuburi jiwa Nabi Muhammad s.a.w. yang mengutipnya dari kitab suci al-Quran. (Mustafa Zahri, 1979:16)

Sayyid Abu A’ala Maududi meletakkan tasawuf (sufisme) sebagai pengukur tahap takutnya seorang hamba kepada Allah s.w.t. di samping pendekatan pembersihan jiwa serta menjadi jambatan kukuh hubungan baik dengan manusia lain.

Baharudin Ahmad (1992: vii) pula meletakkan bahawa sufisme atau tasawuf ialah intipati Islam atau hati nurani Islam.

Apabila membicarakan kemunculan Islam di alam Melayu pula pelbagai pendapat telah dikemukakan oleh ramai sarjana. Pijnappel umpamanya (disokong oleh R.O Wintedt dan Snouck Hurgrouge) berpendapat bahawa Islam disebarkan ke alam Melayu dari selatan India iaitu Gujarat dan Malabar oleh orang Arab bermazhab Shafii.

Ada pendapat pula menyatakan Islam dibawa ke rantau ini oleh pendakwah berbangsa India yang terlebih dahulu menerima Islam (G.E. Marrison, de Jong dan W.F. Wertheim). Sementara itu Keyzers berpendapat Islam didatangkan terus dari Mesir.

Sementara itu terdapat beberapa sarjana yang menyatakan pandangannya bahawa Islam dibawa terus dari Mekah oleh pendakwah-pendakwah. Hal ini boleh dikaitkan terus dengan peristiwa pengislaman Merah Silau (Merah Silu) yang kemudiannya membawa gelaran Sultan Malikul Saleh, seperti yang digambarkan dalam Hikayat Raja-raja Pasai (Russell Jones, 1987:13-16).

Mustafa Mohd. Isa menggunakan rumusan S.Q. Fatimi yang membahagikan dua peringkat kedatangan Islam ke nusantara. Peringkat pertama yang disebut sebagai peringkat tunas iaitu sekitar akhir kurun kelapan dan awal kurun kesembilan, dan peringkat kedua pula ialah peringkat pengislaman beramai-ramai (Baharudin Ahmad, 1992:26).

Syed Muhammad Naquib A-Attas menegaskan bahawa pada peringkat tunas ini, Islam diperkenalkan oleh pedagang-pedagang Arab yang singgah di koloni-koloni sekitar pelabuhan yang disinggahi.

Mereka kemudiannya mendirikan premis- premis sebagai pusat ibadat. Antara amalan yang berjaya menarik perhatian dan minat penduduk setempat ialah amalan-amalan bersifat sufi seperti berzikir beramai-ramai. Dalam makna yang lain pada peringkat tunas ini sufisme bermukim di alam Melayu dalam bentuk amalan bagi mengukuhkan iman dan kepercayaan.

Dari segi persuratan pada peringkat pertama ini sufisme diterap melalui ‘pengislaman’ karya Hindu-Buddha. Unsur-unsur kehinduan digantikan dengan konsep Islam seperti Dewata Mulia Raya digantikan dengan Allah. Wira-wira Hindu pula digantikan dengan tokoh-tokoh Islam seperti Nabi Adam, Nabi Sulaiman, Nabi Khaidir, Iskandar Zulkarnain, Lukman al-Hakim dan sebagainya.

Kewujudan dan kehebatan tokoh-tokoh ini setelah diperdengarkan secara langsung membawa satu impak halus ke dalam jiwa pendengar. Selain itu tokoh-tokoh yang bertindak sebagai wira cerita berperanan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang-orang yang ada hubungan rapat dengannya (isteri, anak atau pengikut).

Dalam Hikayat Shah Mardan umpamanya, memaparkan Shah Mardan menampilkan idea-idea tasawuf. Pembaca turut didedahkan aspek-aspek tasawuf yang terkenal iaitu “tujuh martabat wujud” (Ahadiyat, Wahdat, Wahidiyat, dan lain-lain) di samping mengenai makna mistik sembahyang, meditasi dan musyadah (Braginsky, V.I., 19945: 42-43).

Selain Hikayat Shah Mardan, Drs. Liaw Yock Fang (1978: 103) telah menyenaraikan empat belas hikayat yang termasuk dalam kelompok peralihan Hindu-Buddha dengan Islam. Antaranya ialah Hikayat Si Miskin atau Marakarma, Hikayat Isma Yatim, Hikayat Ahmad Muhammad dan Hikayat Inderaputra.

Islam menjadi bersemarak dan lebih dominan pada peringkat kedua iaitu pada abad ketiga belas iaitu ditandai dengan pengislaman kerajaan Samudera di bawah pimpinan Merah Silu atau Sultan Malikus - Saleh. Malah dapat difahami secara jelas bahawa pendukung sufi memainkan peranan sangat besar dalam meletakkan kekuatan Islam di tengah-tengah samudera.

Penyertaan Sultan Muhamad dalam pengembaraan rombongan Syeikh Ismail ke negara nusantara menyerlahkan fungsi golongan sufi itu. Sultan Muhammad yang turun takhta lalu menjadi ‘fakir’ atau ‘darwis’ dapat dianggap sebagai manifestasi alegori Sultan Ibrahim bin Adham.

Hal yang demikian ini bertepatan dengan kecenderungan rutin para sufisme yang gemar mengembara sama ada mencari guru, sebagai kawan seperjalanan, serta menyebarkan agama (Abdul Hadi W.M., 2002: 77). Ini secara langsung membina satu doktrin yang kuat untuk diikuti oleh pengikut-pengikut tradisi masing-masing.

Keadaan yang teguh di Samudera menjelang abad ke-15 bertitik tolak pemelukan Islam beramai-ramai. Pada waktu inilah usaha-usaha penterjemahan sastera Islam yang dibawa dari Arab-Parsi dilakukan. Karya yang menjadi pilihan utama ialah Hikayat Iskandar Zulkarnain, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhamad Ali Hanafiah dan juga Qisas al-Ambiya'.

Kisah-kisah pahlawan ini dibaca bagi menyemarakkan secara halus tentang kebangkitan semangat yang ditekan dari jiwa dan hati yang telah ditiup oleh semangat tokoh-tokoh tersebut. Pendekatan tasawuf ini bukanlah sesuatu yang asing lantaran Allah juga turut memantapkan iman melalui kisah-kisah silam yang diwahyukan melalui kitab suci al-Quran.

Hal yang demikian makin ketara apabila karya-karya Islam yang sebenar dibawa masuk dan diterjemahkan. Liaw Yock Fang (1978: 132) membahagikan kepada lima kelompok karya yang tiga daripadanya ialah cerita-cerita tentang Nabi Muhammad, cerita-cerita para sahabat nabi dan cerita-cerita nabi.

Namun pendidikan tasawuf mula diajar secara langsung apabila pada pertengahan abad ke-15, iaitu ketika Islam sudah menapak dengan begitu kukuh dan hampir menjadi anutan tunggal di Melaka khususnya di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah yang memerintah antara 1495-1477 masihi (Muhammad Yusoff Hashim, 1992: 87).

Dikatakan bahawa baginda begitu ingin dan tertarik dengan kandungan kitab Duril- mazlum karya Maulana Abu Ishaq lalu berguru dengan Maulana Abu Bakar yang diutuskan dari Mekah. Kemudiannya dengan perintah baginda juga kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Pasai (A. Samad Ahmad, 2003: 157).

Malah dikatakan bahawa dua orang daripada 'wali songo' iaitu Sunan Giri dan Sunan Bonang turut memperdalam ilmu agama khususnya ilmu tasawuf di Melaka dan Pasai ketika muda.

Pada abad ke-15 ini semakin banyak karya-karya berbentuk kitab tasawuf yang dibawa dari Arab dan Farsi diterjemahkan. Antara yang menjadi rujukan utama ialah Bidayat al-Hidayah karangan Imam al-Ghazali. Kemuncak kepada perkembangan pemikiran sufisme di nusantara dikatakan berlaku sekitar akhir abad ke-16 hingga awal abad ke- 17. Hikayat tasawuf terjemahan yang turut terkenal dan menjadi perhatian luas pada waktu itu ialah Hikayat Nur Muhammad yang membicarakan tentang kejadian manusia dan alam ini.

Pada ketika ini kegemilangan empayar Islam Melaka telah roboh dan gemilang keilmuan Islam beralih dan berpindah ke Sumatera Utara iaitu Aceh. Kerajaan Aceh yang tertegak atas dasar Islam yang kukuh dan utuh menjadi tumpuan para ulama dalam mendalami Islam. Genre sastera yang menonjol pada waktu itu ialah sastera tasawuf.

Pada zaman ini sastera tasawuf merupakan satu pembicaraan yang sungguh menarik. Pada waktu inilah juga munculnya ulama-pujangga besar Aceh berkecenderungan menyebarkan pemikiran tasawuf. Anatra yang terkenal ialah Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abd. Rauf Singkel dan Nurudin al-Raniri.

Bukanlah sesuatu yang pelik apabila karya tasawuf lebih dominan daripada karya-karya berbentuk lain. Pohon tasawuf yang bertunas dan seterusnya subur dalam perkembangan Islam secara langsung membuka ruang keinginan mengaut ilmu Islam pada waktu itu dan terus mendalaminya.

Barangkali ini didorong oleh keinginan yang begitu mendalam mendekati Tuhan Yang Esa sebagai usaha mencapai puncak kerohanian yang sempurna sebagai seorang insan.

Pada waktu itu juga pemikiran tasawuf di nusantara adalah lanjutan daripada pengaruh falsafah sufisme Arab-Farsi yang kitab-kitabnya dibaca secara meluas. Antara tokoh-tokoh rujukan waktu itu ialah Imam al-Ghazali dengan kitabnya Ihya Ulumiddin, Ibn 'Arabi (Futuhat al-Makkiah), Abu Nasr al-Sarraj (Dengan kitabnya Al-Luma' dan Fi al-Tasawuf), Jamaluddin ar-Rumi (Al-Masnawi) dan Abdul Karim al-Jili.

Arkib dari

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1029&pub=utusan_malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm&arc=hive