Click to go to the Main Page

Islam di nusantara melalui Malabar?

Berikut adalah petikan  dari Sejarah Umat Islam yang ditulis oleh Professor Hamka .Didalam buku ini telah beliau cuba mengupas asal-usul kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu. Walaupun beliau cuba mengutarakan pendapat bahawa Islam telah dibawa  ke Asia Tenggara dari Arab dan bukan dari benua India , beliau telah menunjukkan kepentingan Malabar sebagai satu batu loncatan penyebaran Islam ke Nusantara. Beliau juga menunjukkan kepentingan kaum Mappila ( Malabari) -mempunyai campuran darah Arab atau  mengamalkan kebudayaan Islam ( Arab) - dalam penyebaran Islam di Kepulauan Melayu

(mukasurat 420-421)

 Langkasuka dari tanah Arab?

 Kemudian itu timbul pulalah persoalan ahli-ahli penyelidik, apakah Islam yang diterima langsung dari tanah arab, atau diterima daripada orang-orang India?

Maka agak meratalah faham bahawasanya masuknya Islam ke tanah Indonesia atau ke negeri-negeri Melayu bukanlah dari Tanah Arab, melainkan dari India, dari pantai Malabar.

 Senafas dengan itu dikatakan , bahawasanya Islam yang diterima di sini bukanlah lagi asli dari Arab, melainkan telah "dari tangan kedua". Iaitu dari orang Islam India dan orang Islam Parsi.

Maka untuk menjelaskan soalnya , lebih baik dipisahkan di antara dua soal itu

Soal pertamanya ialah masuk ke negeri -negeri Melayu

Soal kedua, pembawanya orang Arab atau orang Islam India dan Parsi

Menilik bahawasanya alat perhubungan pada masa itu ialah kapal layar, belum lagi ada lagi kapal-kapal besar sebagai sekarang yang dapat melalui lautan dengan jarak jauh, nescaya tidak ada kemungkinan yang lebih dekat daripada kebenaran bahawa pantai Malabar memang menjadi tempat persinggahan besar daripada kapal-kapal Arab yang berlayar berniaga ke sebelah timur pada masa itu.

Jalan ditempuh keduanya. Pertama menyusur pantai Lautan Mearh atau dari pantai sebelah selatan melalui Sungai Sind yang besar itu. Yang menyusur Pantai Laut Merah menyusur pula sampai ke pantai Malabar. Jika angin baik , kerana dapat langsung menuju ke pelabuhan Kulam. Yang melalui Selat Parsi, bertemu lagi di Laut Benggala dan menyamakan haluan ke Kulam.

Pemusatan pertama ialah Basrah dan Siraf, kemudian itu Oman, dari sana menuju pulau Ceylon, atau Malabar atau Koromandel. Kemudian itu perhentian yang ramai terletak di Tanah Melayu, iaitu Kalah. Setengah orang mengatakan Kalah itu ialah tanah genting Kra. Setengahnya lagi mengatakan Kedah, dan pendapat terakhir( dari Prof. Fatemi, professor tetamu di Universiti Malaya) ialah Klang.

Rowlandson berkata:"Orang Islam Arab itu sejak pertama-tama sekali telah menetap di pantai Malabar, di akhir abad ketujuh.".

Dikuatkan pula pendapat ini oleh Francis Daydan diperteguh oleh Storrock " sudah dimaklumi bahawasanya pedagang Parsi dan Arab telah menetap sejak dari abad ketujuh dan lama sebelumnya di pantai-pantai sebelah Barat India itu, berpancar-pancar di berbagai tempat dan kahwin dengan perempuan bumiputera. Dan koloni mereka teristimewa di pantai Malabar adalah besar dan penting.

Yang giat melakukan pelayaran dan perniagaan itu ialah orang Arab, orang Arab dari Oman ,Hadramaut, Shamar dan Bahrein.

Oleh sebab kekuatan politik terpegang di tangan mereka, maka dengan sendirinya terpegang pula di tangan mereka kendali ekonomi. Perniagaan dan pengembaraan ke Timur itu telah sangat subur di zaman bani Umayah, dan lebih subur lagi di Zaman Bani 'Abbas. Mereka telah mendirikan koloni dan perkampungan di pantai Malabar, dan sampai kepada zaman sekarang ini, golongan mereka itu , yang disana dinamai orang kaum 'Mepalla" diakui sebagai keturunan Arab, dan mereka teguh memegang  Mazhab Shafie , sebab Mazhab Shafie telah tumbuh dengan suburnya di pantai senelah Utara tanah Arab itu sejak abad-abadnya yang pertama.

Al-Mas'udi yang singgah di sana pada abad ke sepuluh (916 M.) ,mendapati tidak mendapati tidak kurang dari 10 000 orang Arab dan yang berasal  dari Siraf,  Oman, Basra dan Baghdad; lain dari keturunan mereka yang ibunya adalah perempuan bumiputera. Nescaya mereka itu terus berhubungan dengan tanah asalnya dan mengembara pula berniaga ke sebelah Timur.

Peperangan yang diambil oleh Muslim dan Parsi, tentu ada juga. Tetapi tidaklah dia yang pertama dan utama. Apatah lagi pada mada itu orang Parsi sendiri pun telah tenggelam dalam kebudayaan Islam yang sebahagian besarnya ditelan oleh suasana Arab). Sehingga meskipun dalam perkembangan Islam itu sendiri terdapat orang-orang berdarah Parsi , namun kebudayaan, cara berfikir, hasil usaha mereka adalah Arab, seumpama Imam Ghazali, Abdul Kadir Jailani, Abu Yazid Bustami , yang semuanya itu, ada yang sedikit campuran darah Parsi dan ada yang banyak, namun mereka disebut dan merasa bangga jika disebut Arab. Bahkan Perawi Hadis yang sangat terkenal Imam Bukhari dari Asia Tengah, dengan bangga membangsakan dirinya kepada "Al- Jufiy", sebab Kabilah Bani Ju'uf dari Yamanlah yang diutus oleh Khalifah mambawa Islam ke negeri Bukhara itu.

Adapun setelah abad-abadnya yang kemudian, iaitu setelah kekuasaan Islam merata Hindustan sendiri, misalnya diabad ke13 dan seterusnya, memanglah bukan bangsa Arab sahaja lagi yang mengembara ke negeri-negeri Melayu. Dan cara berfikir pada masa-masa yang demikian jauhlah berbeza dengan zaman sekarang. Setiap yang datang menunjukkan betapa hubungannya dengan orang Arab. Banyak keturunan Sayid, keturunan Rasulullah datang dari Hindustan atau dari Parsi dan banyak pula keturunan Sahabat-Sahabat nabi yang datang dari Malabar. Pada masa itu , orang -orang negeri Melayu sendiripun telah mulai berhubungan langsung dengan Tanah Arab sendiri, sehingga seorang guru Sufi yang besar Sheikh Abu Mas'ud Abdullah bin Mas'ud Al- Jawi telah pergi ke tanah Arab, sampai dia sendiri pun menjadi guru di sana dan memberi ijazah kepada murid-muridnya. Diantara murid yang diberinya ijazah ialah Abdullah al-Yafi'iy, seorang Ulama  Tasawwuf yang besar(1300-1776 M.); pengarang kitab Raudhur Riyakhin fi Hikayatis Salihin.

------@@------

(mukasurat 421-422)

Yang pertama sekali , ketika menceritakan asal-usulnya masuk Ugama Islam ke Samudera Pasai, bahawasanya Sharif Mekah menyuruh Sheikh Ismail dari Negeri Mekah datang ke Samudera Pasai dan supaya dia singgah di negeri Mu'tabar( Malabar) menemui seorang ahli agama yang bertugas menyebarkan Ugama Islam di negeri itu. Orang ditemui di Malabar ialah Sultan Muhammad, dia adalah keturunan daripada Saidina Abu Bakar , sahabat Nabi yang utama. Maka oleh kerana tertarik hatinya hendak menyebarkan Ugama Islam, ditinggalkan kerajaannya , lalu dia hidup sebagai "fakir", iaitu menjadi ahli Tasawwuf. maka dipanggilkanlah dia "Fakir Muhammad".

Meskipun cerita ini berupa setengah dongeng, namun dia adalah diantara jelmaan dari  kebenaran , Ugama Islam masuk ke negeri-negeri Melayu ialah lansung dari sumbernya , tanah Arab atau Mekah al -Mukarramah dan singgah di Malabar, yang singgah itu adalah seorang utusan Sharif Mekah dan yang disinggahi itu adalah seorang bekas raja yang telah menjadi Sfi dan keturunan Sayidina Abu Bakar. 

 

 

Links- based on relevence