Click to go to the Main Page

e-Malabari Network

CARA ISLAM TERSEBAR DI NUSANTARA

Di arkib dari laman web cyberita

SIAPAKAH yang awal-awal menyebarkan Islam ke rantau ini?

Menurut Profesor Cesar Adib Majul dan Profesor Muhammad Naquib Alattas, ada beberapa teori mengenai kedatangan Islam - dari Tanah Arab, India, China atau Parsi.

Sering kedatangan Islam ke Alam Melayu dikaitkan dengan para pedagang Hadramaut (Yaman), Gujerat (India) atau Kwantung (China).

Menurut John Crawford lewat bukunya, History of Indian Archipelago, Islam datang ke Nusantara dari Tanah Arab. Alasan beliau berdasarkan catatan sejarah China dan sumber-sumber Barat.

Menurut catatan sejarah Cina, orang-orang Arab telah sampai ke Tanah Jawa dan membuat penempatan mereka di Pantai Barat Sumatera sekitar tahun 684 Hijrah. Di penempatan ini, orang-orang Arab bermukim dan bernikah dengan penduduk tempatan. Lama-kelamaan, terbinalah masyarakat Islam.

Profesor Haji Abdul Malek Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Hamka, dalam bukunya Sejarah Umat Islam, menceritakan tentang duta Daulah Umayyah telah singgah ke Pulau Jawa dalam perjalanan ke China. Malah, kononnya Muawiyah bin Abu Sufyan, pengasas Daulah Umayyah, ikut belayar ke Pulau Jawa.

Walau apa pun, sumber-sumber catatan ahli sejarah China menunjukkan Islam telah sampai ke Nusantara sejak awal kurun hijrah iaitu sejak zaman khalifah Usman bin Affan lagi.

Sebenarnya, sebelum Islam muncul di pentas dunia, telah wujud hubungan di antara orang Arab dan Parsi dengan penduduk Nusantara.

Menurut sejarawan, banyak wangi-wangian purba yang dipakai pada zaman Julius Caesar dan Cleopatra berasal dari kawasan Nusantara. (Sila rujuk Dr Abdul Rahman Haji Abdullah dalam bukunya, Sejarah dan Tamadun Islam).

Kenyataan ini jelas menunjukkan Alam Melayu merupakan kawasan lalu lintas perdagangan sejak zaman bahari - lama sebelum Islam.

Profesor Hamka, dalam Tafsir Al-Azhar (juz ke-29, muka surat 7790-7791), memberikan hujah yang membuktikan bahawa orang Arab telah belayar ke Indonesia sebelum Islam.

Beliau membicarakan ayat 5, Surah al-Insan: 'Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan akan minum daripada piala yang campurannya adalah kaafuur.'

Katanya, 'kaafuur' itu ialah 'zat putih dan wangi, dikeluarkan daripada dalam pohon kayu, yang biasa tumbuh di hutan-hutan pulau Sumatera. Lebih popular lagi dengan sebutan Kapur Barus. Kerana di zaman purbakala di rimba-rimba pantai Sumatera sebelah Baruslah yang banyak tumbuh pohon kapur itu'.

Tanggapan Profesor Hamka disetujui oleh Profesor Muhammad Naquib.

Orang-orang Melayu menamakan kapur tersebut kapur barus. Dikaitkan kekata 'barus' sebab di daerah yang bernama Barus di Sumateralah terdapat banyak pohon kapur tersebut.

Batu Bersurat dari Terengganu menguatkan bukti bahawa Islam datang ke benua ini dari Tanah Arab. Batu Bersurat tersebut dijumpai di kawasan tepi Sungai Tara, di Kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada tahun 1887. Tulisan jawi berbahasa Melayu pada batu itu menunjukkan tarikh 702H. Dan tulisan pada batu tersebut menyebut Islam sebagai agama rasmi dan sedikit tentang hukum-hakam Islam.

Teori kedua ialah Islam di Alam Melayu datang dari India. S.Q. Fatimi di dalam bukunya Islam comes to Malaysia berpendapat Islam di Alam Melayu berasal dari Gujerat, India. Saudagar Gujerat yang beragama Islam sering berdagang dan turut berdakwah di Kepulauan Melayu.

Terdapat juga ahli sejarah yang mengatakan Islam di Alam Melayu dibawa oleh para saudagar dari Malabar, India. Ini berdasarkan persamaan mazhab Syafie yang dianuti oleh orang-orang Islam di Malabar dan penganut Islam di Nusantara.

Marco Polo di dalam catatannya ada menceritakan kehadiran pedagang-pedagang India di Perlak.

Alasan teori ini dikuatkan lagi dengan pengaruh gelaran sultan-sultan Islam di India seperti 'Syah' yang digunakan oleh raja-raja Islam di Nusantara.

Teori ketiga ialah Islam di Alam Melayu datangnya dari China. Alasan pendapat ini mengatakan kawasan yang mula-mula menerima Islam ialah di Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti di Terengganu.

Menurut sumber catatan ahli sejarah China, Laksamana Cheng Ho (Zheng He yang diperingati ulang tahun ke-600 pengembaraan kelilingi dunia) telah membuat tujuh kali pelayaran ke Kepulauan Melayu. Beliau membawa armada besar termasuk orang Cina Muslim. Justeru, kemungkinan pengislaman di alam Nusantara diusahakan oleh orang-orang ini.

Pada hemat penulis, pedagang-pedagang Arablah yang mula-mula mengenalkan Islam di Nusantara. Hujah dan fakta yang sedia ada lebih meyakinkan dan lebih memihak kepada teori ini.

Batu bersurat yang dijumpai di Terengganu tidak ada menyebut hal orang Islam di India ataupun orang Islam di China atau kedatangan Laksamana Cheng Ho. Tulisannya pula dalam tulisan jawi yang hampir serupa dengan tulisan Arab.

Lagi pula, kebanyakan hasil kesusasteraan Melayu-Islam lama adalah hasil daripada penulisan pengarang orang-orang Arab.

Namun para pedagang-mubaligh Islam dari India atau China juga berperanan dalam dalam penyebaran Islam di Nusantara.

Yang utama, tersebarnya Islam di Nusantara adalah melalui perdagangan, bukan melalui penaklukan ataupun peperangan. Inilah yang membuat tersebarnya Islam di rantau ini begitu unik - harmoni dan makmur!

Oleh
Ismail Haron
Nota: Penulis seorang ustaz dan pendakwah bebas berijazah sarjana.

 

 

Links- based on relevence