Sembahyang Hari Raya Aidil Fitri

14 November 2004. Sembahyang Hari Raya telah diadakan di Surau Malabar Hidayatul Islam hari ini. Anggota Masyarakat Malabari telah datang dari jauh dan dekat untuk bersama-sama mengerjakan ibadah ini. Lebih dari 300 orang hadir semasa solat ini.
Laungan Takbir telah berkumandang dari sebelum pukul 8 lagi. Hadirin terdiri kebanyakannya dari masyarakat Malabari dari jauh dan dekat , kesemuanya berpakaian serba baru, telah hadir beramai -ramai menyerikan majlis ini. Masyarakat Malabari dari Rawang , Banting dan sebuah bas penuh dari Kelang juga telah datang bersama-sama menyerikan majlis.
Sembahyang sunat Hari Raya telah bermula pada pukul 8.30 pagi. Sebelum itu Ustaz Abdul Karim telah menerangkan dalam bahasa Malayalam dan juga Melayu tentang cara-cara mengerjakan solat tersebut. Dua khutbah di dalam Bahasa Arab diikuti dengan Bayan di dalam Bahasa Malayalam telah disampaikan. Setelah selesai para pengunjung telah menjamu selera sebelum bersurai. Dua buah khemah tambahan telah didirikan untuk menampung para hadirin yang begitu ramai.
Bulletin surau yang ke tiga juga dilancarkan pada hari ini. Selain dari aktiviti surau, buletin ini juga memuatkan Sudut Fekah, Perubatan Islam dan juga ucapan Hari Raya dari anggota masyarakat. Buletin juga memuatkan nama nama wakil kawasan yang meliputi kebanyakan kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor
Kami dapati para hadirin semakin bertambah dari majlis ke majlis dan kebanyakan majlis memerlukan khemah tambahan untuk menampung para hadirin. Sekiranya kawasan berbumbung disekitar surau lama ditambah, keperluan khemah tambahan dapat dikurangkan. Semoga Allah s.w.t memberkati segala usaha yang dijalankan keranaNya