Bengkel Motivasi dan Sembahyang Hajat

15 Ogos 2004. Buat julung kalinya Surau Malabar Hidayatul Islam telah menganjurkan sebuah bengkel motivasi dan sembahyang hajat menjelang peperiksaan. Bengkel ini bertujuan menyediakan para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR PMR SPM dan STPM. Lebih dari 200 orang termasuk ibubapa dan para pelajar telah mengambil bahagian. Bengkel ini adalah hasil dari  maklumbalas pembaca melalui  borang cadangan yang diedarkan melalui buletin surau pada bulan Mei yang lalu.

 Perancangan untuk majlis ini telah bermula lebih dari dua bulan yang lalu. Sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk di bawah biro dakwah surau untuk menjayakan majlis ini. Keputusan juga telah dibuat untuk  menjadikannya sebuah aktiviti masyarakat  dan dengan ini bertujuan merapatkan silatulrahim dan kerjasama  di antara segenap lapisan ummah.

  Bengkel motivasi ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. 74 orang  peserta telah mengambil bahagian. Pendaftaran bengkel telah dimulakan pada pukul 9.30 pagi. Bahagian pendaftaran telah diketuai oleh Puan Rahimah. Beliau juga merupakan ketua bahagian wanita PMM, satu bahagian yang baru ditubuhkan. Komputer serta printer untuk  pendaftaran telah disumbangkan oleh  Encik Ibrahim bin Abdullah dari Syarikat Kesura Resources, Kajang. Semua peralatan alatulis serta sijil pula adalah sumbangan Sdr Haji Mohd Hanifa Haji Chekku. Surau juga telah memperolehi sebuah 'common seal' untuk kegunaan sijil sumbangan dari Minc Corporate Consultants( Malaysia) Sdn Bhd. Sarapan untuk pagi yang berupa roti canai dan mee hun adalah sumbangan Hj Abdullah. Selain dari itu ramai ibu bapa telah membawa makanan dan kuih untuk para tetamu menjamu selera.

Bengkel motivasi pelajar

Majlis dimulakan pada pukul 10.15 pagi setelah para peserta dan tetamu mengambil tempat. Setelah Pengerusi Majlis, Sdr Hassan bin Mohd mengalu-alukan para peserta , Ustaz Ashraf As-saquofi telah membaca doa. Setelah itu Pengerusi surau Tuan Haji Kunhimon bin A. P. Hydross telah merasmikan bengkel tersebut. Susunan di dalam surau telah diubah-suai untuk  majlis ini. Penghadang telah digunakan untuk  membahagi dua surau kepada bahagian lelaki dan wanita, termasuk tempat untuk mereka yang uzur. Komputer , LCD projektor serta skrin untuk majlis ini telah ditaja oleh Sdr Samsudin. Surau juga telah mendapat sebuah 'rostrum' baru  disumbangkan oleh Sdr Sham bin Abdul Majeed.

Empat  aktiviti telah diadakan secara serentak untuk melibatkan kesemua para hadirin . Pelajar yang menghadiri bengkel motivasi terus tinggal di dalam surau. Ceramah pertama oleh Sdr Samsudin K.B. Hamzah bertajuk menghadapi peperiksaan. Beliau telah memasukkan unsur - unsur motivasi untuk semangat para peserta. Seterusnya penceramah kedua Sdr Abu Bakar bin Jalaludin  telah menekankan tentang peluang melanjutkan pelajaran serta cara -cara mendapatkan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

Ceramah untuk ibu bapa

Pada masa yang sama aktiviti lain telah disediakan untuk ibubapa. Pada pukul 11.00 pagi, sebuah ceramah telah diadakan untuk ibubapa yang hadir. Sdr Mohd Sanusi Abdullah , Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Pendidikan Wilayah Persekutuan telah memberikan sebuah ceramah yang menarik tentang peranan ibubapa dalam menjaga dan mendidik anak-anak yang membesar dan bersekolah. Ceramah ini yang  dipengerusikan bersama oleh Sdr Sham dan Sdr. Abdul Karim dijalankan di tempat makan sebelah surau lama. P.A. system untuk ceramah ini ditaja oleh Sdr Abdul Kadir, Presiden PMM.

 

Pertandingan mewarna

Aktiviti mewarna  untuk kanak-kanak bawah 10 tahun juga  telah diadakan. Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang mengalakkan  dengan 25 orang mengambil bahagian. Mereka telah diberikan gambar surau ini untuk diwarnakan . Pensel warna dan 'sharpener'  telah ditaja oleh puan Nabissah dan Sdr Abu Bakar Moidu masing-masing. Aktiviti ini bukan sahaja untuk merapatkan kanak-kanak ini dengan surau tetapi juga untuk memberikan masa kepada ibu bapa mereka mendengar ceramah dan meneruskan aktiviti memasak tanpa gangguan. Aktiviti ini dikendalikan oleh golongan belia diketuai oleh Sdr Ikbal.

 Memasak Secara Gotong Royong

Bahagian memasak pada hari tersebut adalah dijayakan oleh kaum wanita. Inilah kali pertama golongan wanita mengambil peranan  aktif di dalam aktiviti surau. Aktiviti  memasak telah bermula pada pukul lapan pagi lagi. Puan Aminah telah mengetuai bahagian memasak ini. Kesemua bahan memasak adalah hasil sumbangan individu. Beras adalah disumbangkan oleh Sdr Ali Jinnah. Ayam pula disumbangkan oleh Sdr Abdul Mutalib. Gas disumbangkan oleh Sdr Muhammad. Barangan runcit adalah disumbangkan oleh penaja. Semua peralatan memasak adalah dibawa oleh anggota masyarakat yang terlibat. Menu makan tengah hari terdiri dari nasi putih, dalcha, ayam goreng, telur masak sambal , sambal  dan dua jenis sayur.

Sessi pagi untuk para pelajar selesai ada pukul 12.45 tengah hari. Setelah selesai, semua para peserta, ibubapa serta para jemputan telah menikmati makan tengah hari . Makanan disediakan secara 'buffet'. Makanan berhidang telah disediakan untuk  Para tetamu khas serta penceramah.

Sembahyang Hajat

Setelah Azan kesemua pelajar serta ibubapa mereka  bersurai ke surau untuk aktiviti selanjutnya. Setelah bacaan al- Quran secara hafazan, ceramah umum agama telah diberikan oleh Ustaz Mustaffa Kamal. Setelah itu majlis disambung semula dengan bacaan YaaSin serta tahlil. Majlis di ketuai oleh Ustaz Abu Bakar. Seterusnya sembahyang hajat telah dijalankan diimamkan oleh Tuan Haji Zainul Abideen Bafakhy Tanggal.

Penyampaian sjil dan cenderamata

Seterusnya pada pukul 4.15 petang majlis penyampaian sijil telah dijalankan. Hadiah penceramah , qari, pemenang, pertandingan mewarna disampaikan oleh  Bafakhy Tanggal. Sijil penyertaan kepada para peserta bengkel  disampaikan oleh Datok Kunhimohd, Tn Hj Kunhimon, Tn Hj Mjr(rtd) Abu Bakar, Tn Hj KunhiBava dan Tn Haji Mohamed. Sijil peserta perempuan disampaikan oleh Datin Zuhara, Pn Hjh Subaida, Pn Hjh Nafeesa dan Pn Hjh Aminah. Pengerusi surau seterusnya telah berucap menutup majlis bengkel ini. Di dalam ucapan tersebut beliau telah memperkenalkan e-mail surau yang baru iaitu surau_malabar@e-malabari.net  Seterusnya sembahyang Asar dijalankan.

Demonstrasi Avarana

Seterusnya, minum petang disediakan. Kuih-muih minuman petang yang dibawa oleh para ibubapa sendiri. Pada masa ini para hadirin telah di hiburkan dengan demonstrasi Aravana atau kompang Malabari . Acara ini telah diketuai oleh Cikgu Ashraf iaitu cikgu baru kelas aravana surau Malabar ini. Seramai sepuluh orang pemain aravana yang  mahir telah menjayakan demonstrasi ini. Pendaftaran juga telah dibuka untuk para pelajar yang ingin memasuki kelas aravana ini. majlis telah bersurai pada pukul 5.30 petang.