Program ‘Doa Selamat’ - Bakal Haji anjuran KMJ.

Pada 11 Jan. 04 iaitu Ahad yang lepas, sekali lagi masyarakat Malabari telah berjaya menyempurnakan satu majlis meraikan bakal-bakal haji musim ini. Majlis ini yang merupakan program ‘Doa Selamat’ telah dilangsungkan di Masjid Malabar Hidayatul Islam - Selayang, Selangor, Malaysia. Majlis ini adalah anjuran dan berkat usaha ‘Kerala Muslim Jamaat’ - KMJ dan ini adalah majlis yang diadakan kali kedua oleh persatuan ini.

Memandangkan kouta untuk rombongan haji dari Malaysia untuk tahun ini adalah hampir separuh dari angka tahun lepas, hanya 11 bakal haji dapat diraikan tahun ini berbanding dengan majlis tahun lepas dimana 46 bakal haji diraikan dengan program yang serupa sebelum mereka mengikuti rombongan haji musim 2003. Daripada 11 bakal haji musim ini hanya 9 daripada mereka yang dapat berserta dengan program ini kerana 2 lagi bakal haji telah pun berangkat dan memulakan perjalanan mereka lebih awal untuk menunaikan ibadat tersebut.

Seramai 40 hadirin yang terdiri daripada ahli KMJ, kuam keluarga dan sahabat handai bakal haji telah hadir bersama untuk menjayakan majlis ini. Majlis bermula selepas solat Maghrib dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Salim. Program yang dimulakan dengan bacaan surah Yaasin dan kemudiannya doa selamat, ia di ikuti dengan ceramah ringkas dari Ustaz Abdul Kareem. Memandangkan ibadat haji ini adalah rukun Islam yang kelima, maka beliau (Ustaz) berucap tentang menunaikan ibadat haji yang mabrur dan makbul kepada semua hadirin. Seterusnya, Sdr Osman Mohamed, Presiden KMJ telah berucap sepatah dua kata dan mengakhiri program dengan menyampaikan cenderahati kepada bakal-bakal haji kita. Selepas solat Isyak, semua hadirin dihidangkan jamuan makan malam dan seterusnya majlis pun bersurai.

Kami dari E-Malabari Network dan mewakilkan KMJ, kaum keluarga dan sahabat handai serta semua masyarakat malabari Malaysia berharap dan mendoakan semoga semua bakal-bakal haji musim ini akan selamat berjalan, selamat beribadah dan selamat pulang dengan harapan segala niat, doa dan hajat mereka dikabulkan oleh Allah s.w.t. InshaAllah.