Kursus Pengurusan Jenazah Surau Malabar

8 Mei 2005 Sebuah Kursus Pengurusan  Jenazah telah dianjurkan oleh Surau Malabar Hidayatul Islam pada hari ini. Kursus yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih dari yang dijangkakan.

Kursus yang dirancang dari tahun lepas ini telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada majlis -majlis lain yang tidak dapat ditukar masanya. Sememangnya aktiviti surau yang semakin giat memerlukan perancangan yang teliti supaya majlis yang diadakan tidak terlalu rapat atau bertindih.

Kursus ini telah bermula pada pukul 9.30 pagi. Sebelum itu para hadirin telah mendaftar dan diberikan senaskah buku pengurusan jenazah serta nota ceramah. Kursus ini adalah percuma untuk para hadirin tetapi derma ikhlas unutk majlis sememangnya dialu-alukan. Rangangan awal untuk mengadakan ceramah di dalam surau telah ditukar dan di adakan di Dewan Terbuka Surau Malabar. Ini membolehkan wanita yang uzur mengambil bahagian tanpa was-was.

Tuan Haji Omar selaku Pengerusi Majlis telah menjemput Ustaz Abdul Kareem, Imam Surau untuk membaca doa. Seterusnya Ustaz Amin dari JAWI telah memberikan ceramah yang pertama. Beliau menyentuh tentang asas- asas pengurusan jenazah dengan menekankan aspek-aspek kerohanian apabila berurusan dengan maut dan mayyat. Setelah minum pagi, kursus di teruskan dengan Ustazah Zawiah memberikan ceramah tentang peradaban apabila berhadapan dengan orang sakit, orang nazak  dan apabila seseorang meninggal dunia. Sesi-sesi 'dihidupkan' lagi para peserta menunjukkan minat dan bertanyakan tentang kemusykilan mereka. Para penceramah juga telah berjaya mengekalkan minat para peserta sehingga ke akhir ceramah.

 Setelah makan tengahari dan Solat Zohor Sesi praktikal telah dimulakan. Peserta lelaki telah berpindah ke belakang surau lama sementara para peserta wanita telah berkumpul di tempat solat wanita. Ustaz Amin serta Ustaz Rosli telah menunjukkan cara-cara mengurusan jenazah dengan Sr Aseraf menjadi 'model'. Ustazah Zawiah telah mengendalikan kelas yang serupa untuk peserta wanita.

Kursus telah berakhir pada pukul 4 petang dengan minum petang sebelum bersurai. Sebahagian dari para peserta turut mengambil bahagian di dalam majlis Maulud yang ditaja oleh Sdr Abbas dan rakan-rakan sepelas Solat Asar.

Jawatankuasa Surau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada JAWI yang telah menaja sepenuhnya program ini termasuk penceramah, makanan, peralatan praktikal serta buku panduan pengurusan jenazah. Para peserta juga telah melahirkan rasa puas hati dengan kursus yang diadakan ini. Insya Allah dengan sokongan padu anggota masyarakat , lebih  banyak majlis ilmiah seperti ini dapat dijayakan.

Jawatankuasa Surau