Kursus Pengurusan Jenazah - Bahagian II

24/7/2005. Bahagian kedua Kursus Pengurusan Jenazah telah diadakan pada hari ini. Ianya diadakan sebagai sambungan kepada bahagian pertama kursus ini yang diadakan pada 8/5/2005 dengan tujuan melengkapkan ilmu pengetahuan tentang tajuk ini di kalangan anggota masyarakat.
Pengendalian
kursus ini diadakan didalam cara yang agak berbeza dari kursus sebelum ini.
Sebuah patung mayat yang diperbuat dari kertas dan siap ’dikafankan’ telah
dibuat untuk menunjukkan secara praktikal bagaimana pengurusan mayat ini patut
dilakukan. Selain dari itu sebuah lubang kubur yang cetek telah digali
berhampiran dengan dewan terbuka untuk merangkan kaedah pengkebumian secara
praktikal. Ahbaabul Masjid-Biro, Pemuda Surau telah mengetuai bahagian
penyediaan kemudahan praktikal ini.
Kursus kali ini dikendalikan sendiri oleh Ustaz Abdul Kareem dari Surau Malabar. Bahagian yang diliputi adalah sembahyang jenazah, pengkebumian serta talqin. Majlis telah bermula pada lebih kurang pukul 3.00 petang dengan lebih 40 orang menghadiri kursus ini.
Bahagian pertama ceramah diadakan di dalam ruang solat masjid menerangkan tentang cara-cara menjalankan solat jenazah dan bacaan yang terlibat. Beberapa tajuk yang menimbulkan kemusykilan seperti kedudukan kepala mayat lelaki dan perempuan telah dikupas secara mendalam oleh ustaz.


Setelah solat Asar para peserta telah beredar ke dewan terbuka untuk jamuan ringan. Ceramah seterusnya diadakan di dewan terbuka ini. Ustaz telah menerangkan tentang cara-cara pengkebumian secara praktikal dengan menggunakan patung dan lubang kubur yang disediakan.
Majlis sebelah malam pula telah diteruskan dengan Sdr Hassan Mohamed,
Setiausaha Surau menjadi pengerusi majlis. Setelah Solat Maghrib, majlis telah
diteruskan dengan bacaan Yaasin dan tahlil untuk anggota masyarakat yang telah
meninggal dunia. Seterusnya sijil-sijil yang telah dikeluarkan oleh JAWI untuk
bahagian pertama kursus ini telah disampaikan.
Sebagai agenda terakhir, pelancaran kemudahan peralatan pengurusan jenazah di Surau Malabar telah diadakan. Peralatan ini boleh didapati dari surau dengan bayaran seratus ringgit iaitu meliputi kos barangan tersebut.
Pelancaran CD serta Kaset Maulud yang sepatutnya diadakan pada hari tersebut telah ditunda ke suatu hari yang lain kerana kelewatan di dalam penyiapan CD tersebut
Majlis telah berakhir pada pukul 10.00 malam setelah selesai makan malam. Dengan selesainya kursus ini maka para anggota masyarakat telah mendapat gambaran penuh serta latihan praktikal di dalam pengurusan jenazah. Surau juga di dalam proses ini telah dapat menyediakan kemudahan peralatan pengurusan jenazah untuk kemudahan masyarakat umum.
Jawatankuasa Surau