Sambutan Hari Raya Aidil Adha dan Ibadat Korban

1 Feb 2004. Masyarakat Islam di Malaysia khasnya di Kuala Lumpur dapat menyambut Hari Raya denagn lebih meriah kerana telah mendapat cuti tambahan hari Ahad dan juga Hari Wilayah yang juga jatuh pada tarikh yang sama. Masjid Malabar Hidayatul Islam sekali lagi menjadi tumpuan masyarakat Malabari di sekitar Lembah Kelang menjelang Hari Raya Haji tahun ini. Ibadat Korban yang diadakan sempena hari yang mulia ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan. e-Malabari network juga telah menampalkan artikel tentang ibadat korban di papan notis masjid untuk dijadikan panduan kepada mereka yang hadir.
Orang ramai mula berkumpul di masjid sebelum pukul 8 pagi lagi. Bacaan takbir yang berkumandang menggambarkan suasana hari raya yang mulia. Sembahyang Hari Raya bermula pada pukul 8.30 pagi dengan Tuan Imam mengingatkan kembali para hadirin akan cara menunaikan sembahyang tersebut. Setelah lebih 200 orang yang hadir itu menunaikan sembahyang, Imam telah menyampaikan kedua-dua khutbahnya dalam Bahasa Arab. Beliau kemudiannya telah memberikan sebuah ceramah pendek tentang Ibadat Korban serta fadhilatnya.
Majlis kemudian telah bersurai ke perkarangan masjid, berhampiran pejabat KMJ untuk menjamu selera dengan 'idiappam ' dan air yang disediakan. Ibadat korban bermula pada hampir pukul 11 pagi. 5 ekor lembu untuk dikorbankan kali ini telah sampai ke perkarangan masjid pada hari sebelumnya lagi. Ramai juga para malabari telah membawa anak- anak mereka untuk menyaksikan sambil mempelajari cara ibadat ini dijalankan.
Proses penyembelihan serta pembersihan lembu korban telah berjalan dengan lancar dan teratur. Daging korban telah dibahagikan kepada 3 bahagian. Sepertiga telah diasingkan untuk disedekahkan kepada mereka yang hadir. Yang selebihnya telah diberikan kepada mereka yang mengambil 'share' dalam lembu tersebut, untuk kegunaan mereka dan untuk diagihkan kepada saudara-mara serta sahabat handai.
Majlis bersurai sebelum Zohor pada hari tersebut setelah daging korban diagihkan. e-Malabari Network mengucapkan tahniah kepada pihak masjid yang berjaya menganjurkan majlis korban pada kali ini.