Ibadah Korban 1425 Hijrah

23 Januari 2005.  Ibadah Korban telah diadakan di Surau Malabar Hidayatul Islam pada hari ini. Jawatankuasa surau memutuskan untuk mengerjakan Ibadah ini pada hari ini hari Ahad, pada hari Tasyrik kedua, yakni Hari Raya ketiga  kerana Aidil Adha pada tahun ini jatuh  pada hari Jumaat.  Pengasingkan Ibadah Korban dari Hari Raya pada tahun ini akan  memudahkan orang ramai mengerjakan Solat Jumaat dan dapat menjalankan ibadah Korban dengan sempurna.

Ibadah Korban boleh dijalankan dari pagi Aidil Adha selepas Solat hari Raya dan 2 khutbah sehingga akhir hari Tashrik ketiga tetapi makruh dijalankan setelah senja. Haiwan seperti lembu kerbau dan unta boleh  di'share' oleh 7 orang sementara haiwan seperti kambing dan biri-biri adalah oleh perseorangan. Pembahagian daging korban yang paling afdhal ialah sepertiga untuk orang yang mengambil 'share' dalam haiwan korban serta kaum keluarga, sepertiga untuk diberi kepada sahabat handai , dan sepertiga unutk di sedekahkan.

Majlis tahun ini di jalankan dengan meriah. Orang ramai telah mula berkumpul dari pukul 9 pagi. Mereka terdiri dari anggota masyarakat Malabari serta penduduk setempat. Sebanyak 5 ekor kerbau di sembelih pada hari ini. Kerbau yang sememangnya merupakan makanan kegemaran masyarakat Malabari telah dibawa khas dari Bidor pada hari sebelumnya.

Majlis dimulakan dengan doa oleh Ustaz Abdul Karim. Lubang kecil telah digali di tanah di tepi surau lama - tempat korban untuk mengelakkan darah korban mengalir. Kerbau telah diikat dan disembelih dengan laungan takbir yang berkumandang.

Proses penyembelihan pembersihan dan pembungkusan telah berjalan dengan lancar. Dengan adanya ramai orang ynag mengambil bahagian kesemua kerja ini selesai dalam masa yang lebih pendek dari yang dijangkakan. Daging setiap kerbau telah dibersihkan dan diikat berasingan.

Pada masa yang sama kaum wanita telah bergotong royong memasak makanan untuk mereka yang hadir. Beras serta rempah untuk memasak telah disumbangkan oleh anggota masyarakat Malabari. sedikit daging dari bahagian ' hadiah' telah diambil dan dimasak kari. Tulang kerbau telah dimasak sup.

Proses korban selesai pada pukul 12.00 tengah hari. Daging korban telah diedarkan pada sekelian yang hadir. Seterusnya para hadirin telah menjamu selera, sebelum dan juga setelah sembahyang Zohor. Majlis telah bersurai pada pukul 2 petang.

webmaster