Sambutan Maal Hijrah 1426

19 Feb 2005- Sambutan Maal Hijrah diadakan secara gilang gemilang hari ini.Seperti tahun tahun yang sudah, sambutan Maal hijrah oeh surau diadakan pada Hari Asyura iaitu pada hari ke 10 Muharram. Sambutan kali ini meriah di mana lebih dari 250 orang telah menghadiri majlis ini. Bengkel surah al Fathihah serta penyampaian anugerah Tokoh Dalam Kenangan Sempena Maal Hijrah merupakan di antara program yang dijalankan. 

 Maal Hijrah menandakan bermulanya tahun baru di dalam kalendar Islam. Ia juga menandakan terbentuknya kerajaan Islam di Madinah, perpindahan yang menentang suatu kejahatan, menambahkan azam ke arah kebaikan dan membentuk suatu masyarakat yang berdisiplin berilmu dan bersatu.

Ahbaab ul Masjid-Pemuda surau -  telah memulakan tahun baru dengan  program yang mereka aturkan iaitu - Bengkel surah al-Fatihah.( Sila lihat artikel yang berkaitan untuk berita lanjut). Bengkel ini telah bermula pada pukul 5 petang sehingga 6.30 petang.  Hampir 60 orang lelaki dan wanita dari berbagai lapisan umur telah mengambil bahagian di dalam bengkel ini. Bnegkel ini telah membuka minda ramaii daripada yang hadir tentang kesilapan yang sering mereka lakukan dengan tidak sengaja semasa membaca Fatihah dan Tahyat

Ini diikuti dengan majlis berbuka puasa sempena hari Asyura. Setiap bahan makanan telah ditaja oleh individu yang berlainan untuk menjayakan majlis ini. Idiappam, kuih-muih serta kuah ikan merupakan menu untuk berbuka puasa.

 Majlis seterusnya beralih  ke dalam surau untuk Solat Maghrib. Ustaz Abdul Kareem  telah memimpin majlis dalam  bacaan Tahlil , Yaasin dan doa, Beliau seterusnya telah menyampaikan ceramah  tentang fadhilat bulan Muharram, hari Asyura dan  ibadat  yang sunat dikerjakan serta  fadhilatnya.

Sesudah itu pengerusi surau Tuan Haji Kunhimon telah menyampaikan ucapannya. Beliau di dalam ucapanmya telah memuji golongan belia Ahbaab ul Masjid yang telah tampil ke hadapan untuk berkhidmat kepada masyarakat sambil memahirkan diri mereka di dalam bidang kepimpinan serta kerja berpasukan. Beliau juga telah mengenang kembali kemajuan dan kejayaan yang dicapai oleh masyarakat kita dalam tahun yang lepas, serta  azam unutk terus maju pada tahun ini. Ucapan beliau di akhiri dengan menyentuh tentang jasa  tokoh-tokoh yang akan meenrima anugerah tokoh dalam kenangan

Buat julung kalinya surau telah menyampaikan anugerah kepada tokoh- tokoh yang telah berjasa kepada masyarakat di masa silam. "Anugerah Tokoh Dalam Kenangan Sempena Maal Hijrah" merupakan  anugerah  pengiktirafan yang pertama di kalangan masyarakat Malabari Selangor dan Kuala Lumpur.  Anugerah ini disampaikan kepada tokoh - tokoh yang banyak berjasa kepada masjid dan masyarakat kita. Dua orang tokoh  telah dipilih untuk menerima anugerah yang pertama ini adalah Allahyarham Ahmad Kutty Bin Unniammu dan Allahyarham Tuan Haji K.V Syed Muhammad bin Kunni Ahmad. Syed Zainal Abideen Bafakhy Tangal telah menyampaikan anugerah kepada Hj Abdullah bin Ahmad Kutty yang menerima sijil bagi pihak ayahnya. Sdr Osman bin Sayid Muhammad pula telah menerima anugerah untuk ayahnya dari Pengerusi surau Haji Kunhimon.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Solat Isyak dan Solat jenazah ghaib serta bacaan Haddad. Seterusnya para hadirin telah beredar ke Dewan Terbuka Surau Malabar untuk menjamu selera makanan yang disediakan. Seperti majlis berbuka tadi juadah adalah dari sumbangan anggota masyarakat.

  Walaupun terdapat cubaan dari sebuah persatuan untuk merosakkan majlis ini, alhamdulillah ianya telah berjalan dengan lancar sehingga ke penghujungnya. Moga-moga Allah s.w.t. melindungi kita sepanjang tahun baru ini dan di masa akan datang dari segala ancaman dan melimpahkan kita dengan segala kerahmatan.

Jawatankuasa Surau