Sambutan Maulud Surau Malabar 1426H

 Sambutan Maulud telah dianjurkan oleh Surau Malabar pada 1 Rabiul awal pada tahun ini. Pada kali ini keputusan telah dibuat untuk mengadakan sambutan secara besar-besaran sepertimana yang dilakukan oleh masjid semasa berada di Segambut dahulu. Ini adalah kerana pada masa kini surau telah mempunyai kebanyakan kemudahan asas yang perlu untuk menjayakan majlis ini. Sebanyak 2000 bungkusan nasi telah diedarkan pada hari tersebut.

 Persiapan untuk mengadakan majlis ini telah bermula lebih sebulan sebelumnya. Sebuah jawatankuasa maulud telah ditubuhkan terdiri dari AJK surau dan beberapa orang anggota masyarakat yang membantu. Pungutan derma telah diadakan di kebanyakan kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan. Lebih dari RM 20000 telah dipungut. Wang ini digunakan untuk menjayakan majlis ini dan selebihnya diketepikan  untuk penyelenggaraan surau pada tahun ini.

 Pesiapan untuk majlis telah bermula sejak dari 7 pagi lagi. Sukarelawan telah mula berkumpul untuk penyediaan makanan. Beras telah ditaja oleh Tuan Haji Mjr (B) Abu Bakar. Rendang untuk dibungkus telah ditaja oleh Keluarga Hj Mohamed. Bekas plastik membungkus telah di taja oleh  Syarikat Netgallant. Gas memasak disumbangkan oleh Sdr Mohammad. Bahagian memasak diketuai oleh Sdr Mohamed, Hj Abdullah dan Hj Bapoo. Makanan untuk dimakan di majlis ini kesemuanya dimasak secara gotong royong.

 Majlis di surau bermula pada pukul 11 pagi. Setelah bacaan Mankus Maulud, ceramah Malayalam telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Karim. Seterusnya Pengerusi Surau telah menyampaikan ucapannya. Selepas Solat Zohor majlis  diteruskan dengan ceramah oleh Ustaz Mahmad dari Masjid Firdaus

 Majlis kali ini juga diserikan oleh Ustaz Zakaria Ketua Unit Kariah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Tetamu khas ini, di dalam ucapannya memberitahu perlunya rasa cinta terhadap masjid dan juga kepada mereka yang menyumbang secara ikhlas kepada masjid. Ucapan beliau diakhiri dengan pelancaran Ahbabul masjid, biro pemuda surau Malabar.

 Para hadirin telah beredar menikmati makanan yang dimasak bergotong royong tadi sebelum pulang dengan bungkusan nasi yang diedarkan. Sebanyak 400 bunkusan nasi telah disampaikan ke rumah anak yatim yang berdekatan.

Insya Allah pada tahun hadapan surau akan menjalankan majlis ini dengan lebih gemilang lagi.

Jawatankuasa Surau