Majlis Sambutan Maulud Peringkat Surau 1427H
&
 Majlis Kesyukuran menerima anugerah Surau Terbaik di Wilayah Persekutuan

2 April 2006. Sambutan Maulud Nabi peringkat surau serta Majlis Kesyukuran Sempena Menerima anugerah Surau Terbaik di Wilayah Persekutuan telah diadakan pada hari ini. Majlis ini telah dihadiri oleh lebih 250 orang. Pengedaran nasi bungkus juga telah dijalankan dimana lebih dari 1000 bungkusan nasi telah diedarkan.

Majlis Sambutan Maulud sememangnya diadakan sepanjang bulan Rabiul Awwal setiap tahun. Majlis-majlis ini adalah ditaja oleh individu serta persatuan-persatuan.Seperti biasa surau Malabar sendiri akan menaja salah sebuah dari hari tersebut.  Hari 12 Rabiul Awwal sendiri seperti lazim akan ditaja oleh Persatuan Kerala Muslim Jamaat.

Pungutan derma telah dilakukan sepanjang sebulan sebelumnya bertujuan untuk melaksanakan majlis ini serta untuk penyelenggaraan surau sepanjang tahun. Kutipan derma ini telah dilakukan dari negeri Perak sehinggalah ke Negri Sembilan

Penyediaan nasi bungkus telah bermula pada pukul 7 pagi. Rendang telah siap dimasak oleh Tuan Haji Abdullah pada hari sebelumnya. Nasi minyak, kari daging dan sayur telah dimasak secara bersama oleh sukarelawan. Pembungkusan nasi serta daging rendang telah dilakukan bersama-sama. Bubur manisan 'payasam' telah dimasak dan dibungkus oleh kaum wanita.

 

Majlis di surau telah bermula pada pukul 10.30 pagi. Beberapa orang tetamu kehormat telah menyerikan majlis hari tersebut. Ini termasuklah Ustaz Zakaria Isa Ketua Bahagian Qariah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dato M.V KunhiMohamad, Sdr Abdul Kadir Pengerusi Persatuan Malabari Malaysia, Sdr Hassan Maimuni Presiden Kerala Muslim Jamaat dan Tuan Hj Ibrahim Naib Presiden Persatuan Malabari Melaka.

Bacaan Manqus Maulud telah dibaca bersama oleh para hadirin selepas doa pembuka majlis. Seterusnya sebuah ceramah di dalam Bahasa Malayalam telah disampaikan oleh Ustaz Kunhimuhammad Musliar. Berikutnya sebuah ceramah di dalam Bahasa Malaysia pula telah disampaikan oleh Ustaz Abu Hassan Al-Asyhari.

 

Majlis seterusnya telah menjemput Ustaz Zakaria Isa Ketua Bahagian Qariah JAWI untuk menyampaikan ucapan. Beliau telah memuji jawatankuasa dan kariah surau yang telah mengadakan banyak aktiviti yang bermanafaat kepada masyarakat. Ini, menurut beliau merupakan salah satu sebab penting kenapa surau ini telah dipilih sebagai surau yang terbaik di Wilayah Persekutuan. Beliau juga berharap bahawa usaha ini akan diteruskan malah digandakan oleh pihak surau.

Seterusnya Pengerusi surau Tuan Haji Kunhimon Hydross telah menyampaikan ucapannya. Diantaranya beliau menyatakan bahawa pencapaian surau menerima anugerah ulung kali ini mengatasi lebih merupakan satu kejayaan yang oleh dibanggakan oleh setiap anggota masyarakat.

Majlis telah diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin doa kesyukuran sebelum solat Zohor. Majlis seterusnya telah bersurai ke dewan terbuka surau di mana makan tengahhari telah disediakan.Seterusnya nasi bungkus telah diedarkan sebelum para hadirin bersurai pada pukul 3 petang.

 Surau Malabar telah menerima beberapa anugerah, cendemata, surat kepujian serta surat tahniah dari JAWI dan beberapa buah persatuan Malabari yang mempunyai hubungan akrab dengan surau Malabar. Kesemuanya ini ada dipaparkan di dalam sebuah almari dan papan kenyataan surau 

Jawatankuasa Surau