Majlis Haul Sheikh Ahmad al- Kabeer Ar- Rifae serta Majlis Kesyukuran Meraikan Tokoh yang Menerima Anugerah di Raja


25 Jun 2006 Ahad Sheikh Ahmad al-Kabeer ar-Rifai merupakan salah seorang Wali Allah yang teragung. Majlis memperingati beliau merupakan majlis tahunan yang yang lazim diadakan di Surau Malabar pada bulan Jamadil Awwal setiap tahun iaitu bulan di mana beliau meninggal dunia. Tahun 2006 juga merupakan tahun yang banyak membawa pengiktirafan kepada masyarakat Malabari samada secara keseluruhan atau peribadi. Dua orang anggota masyarakat Malabari telah dikurniakan anugerah ole kerajaan negeri asal masing masing. Dato Mustaffa Hjj Abdul Rahman yang juga merupakan AJK surau telah dikurniakan Darjat Indera Mahkota Pahang( DIMP) yang membawa gelaran Dato'. Sdr Ahmad bin Hassan pula telah dianugerahkan pangkat Ahli Mahkota Perak ( AMP) . Kedua- dua orang tokoh ini telah banyak membantu membangunkan surau Malabar ini dari berbagai segi.
Majlis pada hari ini telah dimulakan sejurus selepas Solat Maghrib. Seramai lebih kurang 150 orang telah menghadiri majlis ini. Bacaan Ratib Al Haddad telah diadakan seperti yang lazimnya dan diikuti oleh bacaan Rifa`in Maulud bersama-sama. Seterusnya Surah Yaasin telah dibaca sebelum Syed Zainal Abidin Bafakhy Tangal membaca doa selamat
Majlis kesyukuran meriakan anugerah di raja yang diterima oleh Dato' Mustaffa serta Sdr Ahmad telah diadakan sejurus selepas itu. Pengerusi surau, Tuan Haji Kunhimon Hydross telah mengucapkan sepatah dua kata tentang sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua tokoh yang diraikan. Seterusnya beliau telah menyampaikan cenderahati mewakili AJK surau kepada kedua-dua tokoh. Kedua-dua tokoh telah menyampaikan ucapan masing-masing antara berterima kasih kepada surau dan bagaimana berbuat kebajikan akan diberikan Allah s.w.t. balasan yang setimpal.
Majlis telah bersambung dengan solat Isyak dan Solat Jenazah. Makan malam pada hari ini disediakan dan di taja separuhnya oleh Tuan Haji Ismail dari Subang. Bubur manisan pula telah disediakan oleh Keluarga Hj Moidutty dari Ampang. Majlis bersurai pada pukul 10.00 malam.
Jawatankuasa Surau