Utusan Malaysia on line  9/9/06

 

 

Surau Malabar Hidayatul Islam anjur program bantu Lebanon

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KEADAAN umat Islam di Lebanon yang dilanda peperangan dan memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa mendorong pelbagai organisasi peringkat global menyalurkan bantuan kepada mereka.

Dalam peperangan tersebut, Israel dikutuk hebat selepas mereka melancarkan serangan ke atas selatan Lebanon selama 34 hari sejak 12 Julai lalu. Sepanjang konflik itu Pasukan Pertahanan Israel mendakwa, mereka melancarkan lebih 7,000 serangan udara manakala 2,500 bedilan ke atas sasaran.

Kemusnahan yang berlaku menyebabkan Lebanon memerlukan kira-kira RM12.6 bilion (AS$3.5 bilion) untuk membaiki bangunan dan infrastruktur yang rosak akibat bedilan Israel akibat peperangan rejim Yahudi dengan Hizbullah. Di samping itu, mangsa peperangan juga mengharapkan masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan untuk membolehkan mereka meneruskan hidup.

Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan berkongsi penderitaan yang dilalui oleh penduduk Lebanon. Justeru itu, atas inisiatif untuk membantu sesama insan, ahli jawatankuasa Surau Malabar Hidayatul Islam, Selayang, Selangor mengadakan forum dan pungutan derma untuk mangsa-mangsa di Lebanon baru-baru ini.

Ketua Bahagian Dakwahnya, Dr. Hisham Kunhimon berkata, program tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu masyarakat Islam yang teraniaya di Lebanon.

Bagi memberi gambaran jelas mengenai tragedi yang berlaku, penganjur menjemput dua penceramah terkenal iaitu Dr. Hafizi Mohd. Noor dari Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Prof. Dr. Mohd. Ikram Mohd. Salleh (Naib Presiden Mercy Malaysia).

“Surau kami memang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti dan program dakwah sejak ditubuhkan tiga tahun lalu.

“Kami mengambil kesempatan ini mengadakan program bagi mengumpul sumbangan demi membantu saudara-saudara kita yang sedang menderita di Lebanon,” ujarnya yang juga pakar perunding ortopedik hospital Selayang.

Antara aktiviti yang diadakan ialah bengkel dan ceramah motivasi untuk remaja dan belia serta aktiviti jualan makanan dan minuman. Beliau mensasarkan kutipan sumbangan orang ramai berjumlah RM25,000. Bantuan akan disalurkan melalui Mercy Malaysia.

 

di arkib dari Utusan Online http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm