Sejarah Persatuan Malabari Melaka
Pada 11 Oktober 2000, perlembagaan Persatuan Kerala Muslim Melaka ( Malacca Kerala Muslim Samajam) telah dihantar untuk pendaftaran. Tujuan utama persatuan ini ditubuhkan adalah untuk menyatupadukan ikatan silatur rahim di kalangan kaum Malabari di Negeri Melaka yang kini hampir hilang identiti. Disamping memperteguh jati-diri kaum Malabari dengan menggalakkan sektor sosio ekonomi, pendidikan, kebajikan serta menerapkan nilai-nilai keIslaman di sanubari mereka.
Persatuan Kerala Muslim Melaka telah pun bergerak serta menjalankan beberapa aktiviti. Pada 28 November 2000, Persatuan Kerala Muslim Melaka telah didaftarkan dengan rasminya dengan nombor pendaftaran 1484. Setahun kemudian di atas sebab-sebab tertentu nama persatuan ini telah diubah kepada Persatuan Malabari Melaka dan telah diwartakan di dalam warta Kerajaan Persekutuan.
Pada 30 April 2001 , Persatuan Malabari Melaka telah menulis surat kepada Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka meminta beliau menjadi penaung Persatuan Malabari Melaka. Pada 23 April 2001, surat persetujuan menjadi penaung telah diterima dari pejabat Ketua Menteri Melaka.
Hasrat untuk bergabung dengan Persatuan Malabari Malaysia telah tercetus di minda ahli Jawatankuasa Persatuan Malabari Melaka. Maka perjumpaan telah diadakan di antara kedua pihak pada 28 April 2001 di Melaka. Kata sepakat telah dipersetujui , namun akhirnya pengabungan ini tidak menjadi.
Kini setelah berusia 7 tahun , Persatuan Malabari Melaka boleh berbangga dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Derma serta sumbangan kepada badan-badan tertentu seperti sekolah, rumah anak yatim, surau dan lain –lain senantiasa diberikan disamping menangani masalah-masalah yang timbul di kalangan kaum Malabari Negeri Melaka.
Sesungguhnya ucapan terima kasih harus diberikan kepada Datuk Sulaiman bin Mohamed J.P. kerana dengan usaha serta komitmen beliau maka pertubuhan ini telah ditubuh dan didaftarkan. Sebagai anak malabari Negeri Melaka , usaha beliau ini amatlah dibanggakan.
Seminar Keluarga Bahagia yang telah diadakan pada 20 Februari 2005, merupakan seminar pertama yang diadakan oleh Persatuan Malabari Melaka. Dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, seramai 164 peserta dari lima buah negeri telah menyertai seminar ini. Dengan niat yang ikhlas dan komitmen yang jitu dan mantap dari ahli jawatankuasa Persatuan Malabari Melaka yang tidak mengenal erti jemu, seminar in telah dilaksanakan dengan jaya dan cemerlang sekali.
Sesungguhnya sebagai sebuah persatuan sukarela, Persatuan Malabari Melaka akan terus mengadakan pelbagai aktiviti. Meskipun mempunyai sumber kewangan yang terhad, namun berbekalkan semangat dan komitmen yang kental, Persatuan Malabari Melaka akan terus wujud dan berusaha bagi memastikan nasib kaum Malabari khususnya di Negeri Melaka yang kian tenggelam di tengah-tengah kewujudan kaum lain yang lebih majoriti akan terbela.
Sekian
Disediakan Cik Safina bt Datuk Sulaiman JP
Setiausaha Persatuan Malabari Melaka