Tokoh Dalam Kenangan
Sempena Maal Hijrah 1426
Surau Malabar Hidayatul Islam

Allahyarham Ahmad Kutty Bin Unniammu

Ahmad Kutty Bin Unniammu atau lebih dikenali di kalangan masyarakat malabari sebagai Ayamuttikka telah dilahirkan pada tahun 1923. Beliau merupakan anak kelima kepada pasangan Unniammu dan Kauju. Beliau mempunyai tujuh orang adik beradik. Pada tahun 1944, beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Bibi Bt Kunju Aweru yang berasal dari Bikam (Trolak) Perak. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan seramai 10 orang anak.

Ayamuttikka telah banyak berjasa kepada kepada masyarakat Malabari di Malaysia. Beliau begitu aktif dalam kegiatan masyarakat Malabari di Malaysia secara keseluruhannya. Beliau merupakan salah seorang pengasas Masjid Malabar di Segambut. Beliau telah memegang jawatan sebagai presiden Masjid Malabar Hidayatul Islam di Segambut dari tahun 1986 sehingga ke akhir hayat beliau iaitu pada 25 May 1990.

Allahyarham mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang berkaliber. Beliau begitu disegani dan dihormati bukan sahaja dikalangan masyarakat Malabari malah masyarakat lain yang mengenali beliau. Sikap beliau yang suka memberi bantuan kepada masyarakat tanpa mengira kaum telah mengharumkan nama beliau sebagai seorang yang boleh dipercayai untuk memberi keputusan yang adil dan seimbang. Beliau merupakan salah seorang yang terpenting dalam “Pancayat” yakni “mahkamah tradisional” Malabari. Banyak pertengkaran dan perselisihan faham dikalangan keluarga dan masyarakat Malabari telah berjaya beliau selesaikan dengan tenang.

Pemergian beliau merupakan satu ke kehilangan besar kepada masyarakat Malabari keseluruhannya.

Dipetik dari :
Buku Majlis Maal Hijrah 1426 -Surau Malabar Hidayatul Islam
yang dikeluarkan dalam majlis yang diadakan pada
hari Sabtu 19 Februari 2005 bersamaan 10 Muharram 1426 H