Tokoh di dalam kenangan sempena Maal Hijrah 1427
CETYADEN MOHAMEDKA
Nama penuh beliau adalah Mohamed bin Ahmad namun lebih dikenali sebagai Cetyaden Mohamedka. Beliau telah dilahirkan di Vadekekad, Daerah Trisshur, Kerala, India pada 1914. Beliau datang dari sebuah keluarga yang terhormat dan telah berhijrah ke Malaysia, Malaya ketika itu pada tahun 1932 pada usia 18 tahun. Di Malaya, beliau membantu bapa saudaranya dalam bidang perniagaan restoran di bandar Melaka. Beliau telah mendirikan rumahtangga ketika berusia 24 tahun dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Beliau telah berkecimpung dalam bidang perniagaan lain di seluruh Malaya dan akhirnya beliau telah menetap di Kuala Lumpur pada tahun 1962. Di Kuala Lumpur, beliau telah menjalankan perniagaan restoran di beberapa tempat.
Di samping sibuk dengan perniagaan, beliau juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan umumnya untuk kaum Malabari sendiri. Beliau telah mengambil bahagian aktif di dalam menubuhkan Masjid Malabar HidayatulIslam yang asal di Segambut. Beliau juga adalah seorang yang sering dijadikan rujukan oleh kaum Malabari di sini jika ada sebarang perkara, masalah atau isu. Belai aktif di dalam ”panchayat’ yang membantu menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham di kalangna masyarakat Malabari. Keputusan beliau selalunya menyenangkan banyak pihak dan dipersetujui oleh orang ramai.
Beliau telah menjadi Pengerusi Masjid Malabar Hidayatul Islam pada tahun 1990. Beliau telah memegang jawatan ini selama setahun sebelum menyerahkan tugas ini di atas sebab keuzuran dan umur yang meningkat. Beliau telah jatuh sakit dan meninggal dunia pada 21 Oktober 1996 pada usia 82 tahun.
Pemergian beliau amat dirasai oleh seluruh kaum Malabari yang mengenali beliau. Jasa dan budi baik beliau tetap akan dikenang dilipatan sejarah.