Berita Harian

Malaysia gerakkan pembinaan tamadun Islam masa kini

Oleh Hatipah Ahmad

ALUNAN irama selawat dan zikir puji-pujian ke atas Nabi Muhammad berkumandang syahdu di pagi hari sambutan Maulidur Rasul 12 Rabiulawal 1425 Hijrah bersamaan 2 Mei 2004 diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, kelmarin, bagi meraikan kelahiran seorang insan suci membawa rahmat kepada seluruh umat manusia.


Irama itu bertambah indah apabila dinyanyikan bersama hampir 13,000 umat Islam yang berkumpul dan menyertai perarakan pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah.

Sambutan yang dimulakan pada jam 8 pagi dengan perarakan dari padang letak kereta Stadium Hoki ke Stadium Putra. Peserta perarakan kebanyakannya memakai pakaian Melayu yang dihiasi dengan samping songket dan songkok atau kemeja batik berwarna warni sambil memegang panji-panji yang menandakan kumpulan mereka, perarakan itu sedikit sebanyak membakar semangat Maulidur Rasul.

Apatah lagi apabila perarakan itu diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul 1425 H, Prof Datuk Dr Abdullah Md Zain dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustafa Abdul Rahman.

Turut berangkat pada majlis itu Yang Di-pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain perarakan, satu persembahan khas berbentuk puisi dan lagu bertemakan perkembangan tamadun Islam dijayakan oleh pemuisi tempatan, Marzuki Ali, Haryani Harun dan kumpulan nasyid Hijjaz, Jakim dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi perarakan kumpulan terbaik, kategori kementerian dan jabatan kerajaan dimenangi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); kategori swasta (Telekom); kategori NGO (Surau Presint 16, Putrajaya); kategori IPT (Universiti Kebangsaan Malaysia); kategori sekolah (Sekolah Pendidikan Rendah Islam Masjid Negara) dan kategori kontinjen khas (Polis DiRaja Malaysia).

Tema bagi sambutan Maulidur Rasul kali ini ialah ‘Negara Maju Matlamat Kita’ diharap dapat mewujudkan kesedaran dan semangat dalam jiwa rakyat bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mendokong konsep ‘Islam Hadhari’ sedang menuju taraf negara maju.

Dengan tema kali ini, Malaysia mampu menjadi negara Islam contoh dan menjadi penanda aras kepada pembinaan tamadun Islam masa kini.

Mustafa berkata, sambutan Maulidur Rasul mengingatkan kita kepada kegigihan dan pengorbanan Junjungan Besar Nabi Muhammad bersama sahabat membina dan membangunkan tamadun Islam yang kemudiannya menjadi tamadun yang ulung di dunia.

Katanya, Rasulullah mementingkan mutu dan ketekunan dalam melaksanakan urusan dan sejarah menyaksikan bagaimana Kota Madinah dibangunkan oleh baginda dan sahabat melalui komitmen dan iltizam tinggi walaupun ketika itu, umat Islam menerima tekanan hebat daripada kafir Quraisy di Makkah dan masyarakat Yahudi di Madinah.

Bercakap mengenai tema Maulidur Rasul, Mustafa berkata, bagi mencapai taraf negara maju, umat Islam perlu menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi, perubatan, pentadbiran, ekonomi dan politik yang boleh menjadikan negara kita kukuh, kuat dan mampu menyaingi kuasa besar.

Turut diadakan pada majlis itu ialah pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul 1425H oleh Yang Di-pertuan Agong. Pemenang anugerah memenangi hadiah wang tunai RM2,000, sijil perhargaan, plak dan beberapa hadiah lain.

Seramai 10 orang menerima Anugerah Maulidur Rasul iaitu Nabissah Mohamed, Liew Tong Sin, Datin Habibah Mohd, Siti Halijah Yusoff, Noordin Mat Diah, Abdul Bakri Mohamad, Wan Kamel Wan Hussain, Abd Hamid Sidek Abidin, Md Miskan Kamari dan Ilias Yasin.

Anugerah ini diadakan bertujuan memberi pengiktirafan terhadap tugas dan perkhidmatan yang menjurus kepada kepentingan rakyat serta memenuhi kewajipan fardu kifayah. Ia terbuka kepada kakitangan awam, swasta, badan berkanun dan ahli persatuan yang terbabit dalam tugas atau perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi dan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Antara pemenang anugerah Maulidur Rasul ialah Nabissah, 48, yang dipilih berdasarkan pengalamannya mententeramkan seorang penumpang lelaki yang menghidap sakit mental ketika dalam perjalanan pulang dari Makkah ke Kuala Lumpur hingga berjaya mengelakkan pendaratan kecemasan.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 1998 apabila dikejutkan oleh juruterbang pada jam 2.30 pagi untuk membuat keputusan mengenai sama ada wajar atau tidak pendaratan kecemasan dilakukan berikutan keadaan salah seorang penumpang yang mengalami masalah kesihatan.

Ketika itu, pesawat berada di perairan Pasifik dan sekiranya pendaratan kecemasan dilakukan, pesawat mungkin mendarat di India.


“Pada sangkaan saya, penumpang itu mungkin memerlukan rawatan pernafasan (CPR), tetapi telahan saya salah apabila mendapati beliau mengalami masalah mental hingga menyebabkannya menjerit, meracau dan membuka semua pakaiannya. Selepas setengah jam kemudian, barulah dia mahu memakan ubat dan tertidur hingga sampai ke Kuala Lumpur,” katanya.

Liew, 47, dipilih kerana jasanya dalam operasi memadamkan kebakaran api hutan di Miri, Sarawak dan mengetuai petugas menghapuskan khinzir pembawa virus wabak Japanese Encephalitis (JE) di Negeri Sembilan pada 1999.

Habibah, 45, dipilih berdasarkan kecekalan beliau mengendalikan rawatan kesihatan untuk pesakit wabak taun antara 60 hingga 80 orang sehari di Kluang, Johor pada 1990 dan Siti Halijah, 51, pula kerana kesabarannya mengumpul semula semua maklumat yang musnah ketika kebakaran yang berlaku di Wisma Tanah pada 1991.

Noordin, 54, dipilih kerana keupayaannya menganalisis bahan sampingan ‘dioksin’ dan ‘furan’, sejenis bahan kimia paling merbahaya kerana boleh menyebabkan kanser dan Abdul Bakhri, 36, pula dipilih berdasarkan kerja lapangan Ujian Tanpa Musnah (NDT) di loji kimia yang mengalami keretakan tangki di Kemaman.

Wan Kamel, 43, dipilih kerana berjaya memproses data rukyah di 29 pusat cerapan hilal dan memproses data waktu solat serta arah kiblat, manakala Abdul Hamid, 51, dipilih berdasarkan pengalamannya membantu kerja menggerudi air bawah tanah serta kerja kajian tanah untuk projek pembangunan.

Md Miskan, 56, dipilih berdasarkan kesediaannya mengajar ilmu kepada anak tempatan hingga sanggup berkhidmat sebagai guru sandaran tanpa latihan di kawasan pedalaman di Kota Tinggi dan Ilias, 52, dipilih kerana usahanya menggerakkan aktiviti tiga kampung dalam Gerakan Desa Wawasan (GDW) di Johor.

Dipetik dari Berita Harian 4 Mei 2004