Tokoh Dalam Kenangan
Sempena Maal Hijrah 1426
Surau Malabar Hidayatul Islam

Allahyarham Tuan Haji K.V Syed Muhammad bin Kunni Ahmad

 

Allahyarham Tuan Haji K.V Syed Muhammad bin Kunni Ahmad dilahirkan di Kerala, India pada 1-1-1923. Datang ke Malaysia semasa kecil lagi dan menetap di Segambut, Kuala Lumpur. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Isaw bt Ali. Allahyarham telah dikurniakan dengan 10 orang cahaya mata.

Sejak dari muda lagi, Allahyarham merupakan seorang yang suka melakukan amal ibadat dan terkenal dengan kerja-kerja social membantu masyarakat terutamanya di kalangan masyarakat Malbari. Beliau seorang yang berhemah tinggi dan sangat dihormati di kalangan masyarakat Malbari. Beliau merupakan salah seorang pengasas Masjid Malabar Hidayatul Islam di Segambut. Beliau sangat aktif dalam kegiatan masjid dan sering menawarkan diri secara sukarela untuk aktiviti masjid seperti pengimarahan masjid, mengutip derma untuk aktiviti Maulud Nabi, menjalankan aktiviti maulud, menjalankan kelas-kelas agama, kelas bahasa Malayalam, dan sebagainya

Ketokohan beliau juga diiktiraf oleh penduduk Melayu di Segambut sehingga beliau dilantik menjadi AJK Masjid Firdaus, Segambut bagi mewakili Masjid Malabar Hidayatul Islam. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi presiden Masjid Malabar Hidayatul Islam. Allahyarham juga telah diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan dan diberikan tauliah sebagai pengajar Al-Quran bagi memenuhi syarat untuk menjalankan aktiviti di Masjid Malabar. Selain dari itu, Allahyarham juga terkenal dengan kerja-kerja sosial seperti kerja-kerja pengurusan jenazah Beliau juga aktif dalam Kerala Muslim Jamaat

Dedikasi dan cinta Allahyarham terhadap Masjid Malabar Hidayatul Islam adalah sangat kuat sehingga Allah s.w.t telah memilih untuk mencabut nyawa Allahyarham di masjid Malabar pada 21 Ramadhan 1408 hijrah bersamaan 8 Mei 1988, ketika sambutan majlis berbuka puasa. Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika aktif mengatur program untuk majlis tersebut ketika usia beliau 65 tahun. Beliau meninggal dalam keadaan tersenyum ketika terlena menanti waktu Asar ketika dikelilingi masyarakat Malbari yang datang pada majlis tersebut. Sesungguh kematian beliau merupakan satu kejutan bagi masyarakat Malbari ketika itu dan juga satu kehilangan besar unutk masyarakat Malabari yang dirasai hingga sekarang.

Dipetik dari :
Buku Majlis Maal Hijrah 1426 -Surau Malabar Hidayatul Islam
yang dikeluarkan dalam majlis yang diadakan pada
hari Sabtu 19 Februari 2005 bersamaan 10 Muharram 1426 H