Tokoh di dalam kenangan sempena Maal Hijrah 1427
HAJI P MOHAMED S/O BAPPOO
Allahyarham Haji P Mohamed s/o Bappo telah diberi penghormatan untuk menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun ini kerana jasa bakti beliau kepada agama dan masyarakat sehingga ke akhir hayat.
Beliau telah dilahirkan pada tahun 1924 di Chammanur yang terletak di Daerah Trisshur, Kerala. Beliau merupakan cahaya mata kepada Allahyarhamhuma Bappoo Hydrose Musliar dan Aisha Marican. Setelah menamatkan pelajaran sehingga Darjah 6 di Kerala, beliau telah berhijrah ke Malaysia pada tahun 1936. Hasil perkahwinannya dengan Puan Kalsum Bee bt Hj Ibrahim pada tahun 1947, telah dikurniakan seramai sepuluh orang zuriat - enam orang lelaki dan empat orang perempuan. Beliau menetap dan menjalankan perniagaan restoran di pekan Setapak di Jalan Pahang. Oleh itu beliau dikenali di kalangan masyarakat sebagai ‘Setapak Mohamedka’
Allahyarham merupakan seorang yang sangat aktif di dalam menjalankan kerja- kerja amal untuk masyarakat setempat mahupun masyarakat Malabari secara umum. Beliau sangat aktif di Masjid Jamiul Eshan di Pekan Setapak dan merupakan ahli Jawatankuasa di masjid tersebut. Beliau juga telah turun ke gelanggang semasa pembinaan surau Malabar di Selayang dan menjadi salah seorang yang aktif di dalam Jawatankuasa Pembinaan Surau. Beliau telah menyalurkan sepenuh tenaga dan masa ke arah ini.
Bak kata pepatah; ‘Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya’. Pada tahun 1994, beliau telah dilanggar sebuah kereta semasa melintas Jalan Bangsar untuk menghadiri mesyuarat pembinaan masjid. Kaki beliau telah patah didalam kemalangan ini, menyebabkan beliau tidak dapat mengambil bahagian secara aktif di dalam pembinaan masjid. Beliau telah pulang ke Rahmatullah pada 23 September 1995 akibat lemah jantung. Sehingga nafas terakhir, salah satu hasrat beliau adalah untuk melihat Surau Malabar yang baru siap dibina. Ini telah diabadikan di dalam serangkap doa di dalam buku puisi nukilan Hj Kunhimon tentang cabaran semasa pembinaan masjid:
Ya Allah,
Ada yang berusaha keras dari permulaan,
Tetapi tidak dapat melihat masjid disiapkan
Kerana kembali ke pangkuan Tuhan
Kurniakanlah mereka Syurga yang Kau janjikan.